December 17, 2015

Jantung tiga lubang

FIFI Nor Fazliyana memerlukan bantuan kewangan bagi menjalani pembedahan jantung.

Johor Bahru: “Ibu bapa mana tidak bimbang jika anak disahkan memiliki tiga lubang di jantung,” kata seorang jurujual pasar raya, Mohamad Fazlin Jafery, 25, bapa kepada Fifi Nor Fazliyana atau Yana berusia setahun 11 bulan yang memerlukan bantuan kewangan untuk kos pembedahan sebanyak RM35,000.

Lebih merisaukan Mohamad Fazlin dan isteri, Fifi Nor Fazirin Jahari, 21, ialah anak tunggalnya itu perlu menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara pada 21 Disember ini menyebabkan dia buntu mencari wang sebanyak itu.

Menurutnya, masalah jantung berlubang dialami Yana dikenal pasti ketika kanak-kanak itu berusia sebulan selepas sering mengalami sesak nafas ketika tidur.

“Pada awalnya doktor hanya mengesyaki dia mengalami masalah jantung berlubang namun ketika dia berusia kira-kira tiga bulan, doktor mengesahkannya.

“Lebih membimbangkan jantungnya terdapat tiga lubang dan setiap satunya sebesar lima hingga enam milimeter,” katanya yang tinggal di no 25, Lorong Maju, Kampung Melayu Majidee di sini.

Mohamad Fazlin berkata, pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA) merujuk Yana ke IJN ketika kanak-kanak itu berusia usia lima bulan.

Menurutnya, Yana dijadualkan untuk menjalani pembedahan pada tahun depan, tetapi pada awal minggu ini, keluarganya dihubungi pengurusan IJN yang memaklumkan pembedahan diawalkan iaitu pada 21 Disember ini.

“Hanya tinggal 11 hari untuk Yana menjalani pembedahan sedangkan wang yang ada jauh daripada mencukupi. Sekiranya gagal menjalani pembedahan, saluran pernafasan dikhuatiri semakin sempit hingga boleh membahayakan nyawanya,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu kerana pendapatan sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah sebanyak RM900 sebulan masih tidak mencukupi untuk menyimpan dan isteri pula tidak bekerja.

“Malah, sewa rumah turut tertunggak dua bulan berjumlah RM700, kami tidak tahu bagaimana untuk mengumpul RM35,000 dalam tempoh masa suntuk ini,” katanya.

Mohamad Fazlin berkata, dia berharap ada pihak menyalurkan bantuan bagi membolehkan Yana menjalani pembedahan berkenaan tanpa sebarang masalah.

“Saya malu untuk meminta bantuan namun demi Yana yang menjadi hadiah paling istimewa bagi saya dan isteri, saya memohon bantuan ramai.

“Seperti ibu bapa lain, kami mahu melihat Yana membesar dalam keadaan sihat, bersekolah dan berjaya,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan bantuan di akaun Maybank milik Mohamad Fazlin, 151213109033 atau hubungi talian 0177628049.

myMetro 11 Dis 2015



0 comments:

Post a Comment