December 4, 2015

Cemas tayar belakang meletup

Kenderaan dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum terbalik.

Nilai: Tujuh sekeluarga menempuh detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki terbalik selepas tayar belakang pecah dan meletup di Kilometer 280.1, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran kawasan Rehat & Rawat (R&R) Seremban, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 7.45 malam itu ketika empat wanita, dua lelaki dan seorang kanak-kanak itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka.

Difahamkan, mereka dipercayai berpindah ke Melaka selepas seorang daripada mereka bertukar tempat kerja.

Sebaik tiba di lokasi, tayar belakang kiri Toyota Unser itu meletup menyebabkan pemandunya hilang kawalan lalu terbalik.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Mohd Syazwan Saidy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.51 malam dan tiba ke lokasi 19 minit kemudian bersama lapan anggota dengan jentera dan van Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS).

“Sebaik tiba, bomba mendapati semua mangsa dikeluarkan orang awam.

“Anggota EMRS memberi pertolongan kecemasan sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk rawatan,” katanya, semalam.

Menurutnya, maklumat diterima seorang mangsa mengatakan kenderaan dinaiki berada di lorong kanan dan mahu mengubah laluan ke lorong tengah.

myMetro 4 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment