December 4, 2015

Adik saya bukan suami Mokbiey

Bachok: “Adik saya yang cedera ditembak itu bukan suami wanita dikenali Mokbiey. Dia bukan suami sesiapa,” kata Fazie Atsna Aripin, 26, yang adiknya cedera paha kiri dan betis kanan akibat ditembak dua lelaki di Kampung Kubang Nibong, Pauh Sembilan, di sini, kira-kira 1.30 pagi tadi.

Mokbiey ialah seorang daripada tiga wanita yang ditahan kerana pergaduhan di Kelantan seperti dalam rakaman video viral baru-baru ini.

"Ada orang mendakwa adik saya, Muhammad Izzatullah, ialah suami Mokbiey. Saya tegaskan dia bukan suami sesiapa kerana masih belum berkahwin," katanya yang kesal kerana ada pihak mengaitkan kisah wanita itu dengan kejadian adiknya ditembak.

Dalam kejadian itu adiknya yang berusia 20 tahun ditembak satu das oleh dua lelaki bermotosikal ketika berjalan pulang ke rumah yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad yang mengesahkan kejadian ketika dihubungi berkata, mangsa ditembak satu das di paha kiri yang tembus mengenai betis kanan.

"Mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan dan dilaporkan stabil," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

myMetro 3 Disember 2015


Lelaki cedera ditembak

Mangsa lari sejauh 200 meter dalam keadaan berdarah

BACHOK 3 Dis. - Seorang lelaki berusia 20 tahun terpaksa berlari sejauh kira-kira 200 meter dalam keadaan pahanya berlumuran darah untuk menyelamatkan diri selepas ditembak di Kampung Nibong, Beris Kubur Besar di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, Muhammad Izzatullah Aripin dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di sebuah warung berhampiran kediamannya.

Dipercayai dua lelaki yang me­nunggang motosikal telah mengekori Muhammad Izzatullah sebelum melepaskan satu das tembakan dari arah dekat sehingga menyebabkan peluru menembusi bahagian paha mangsa.

Mangsa yang juga seorang penjual budu dikatakan terus melarikan diri ke rumah dan mendapati pahanya telah berlumuran darah kesan daripada tembakan tersebut.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdul Hamid Che Ahmad berkata, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek telah mengekori mangsa sebelum melepaskan tembakan.

“Dua suspek lelaki itu yang me­nunggang sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 dan memakai topi keledar bercermin gelap telah melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri ke arah Kampung Pauh Sembilan.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian atas paha kiri dan bahagian bawah lutut kaki kanan apabila peluru menembusi kedua-dua kaki mangsa.

“Keadaan mangsa stabil dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,” katanya di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Kesiksaan dan hasil siasatan awal mendapati mangsa tidak mengetahui motif dia ditembak oleh kedua-dua individu tersebut.

“Semakan terhadap mangsa juga mendapati tiada rekod kesalahan jenayah lampau atau terbabit de­ngan kes penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Muhammad Fazie Atsna Aripin, 26, ketika ditemui memberitahu, Muhammad Izzatullah bersama tiga adiknya yang lain sebelum itu pergi minum di warung berkenaan namun mereka pulang ke rumah secara berasingan.

“Hanya Muhammad Izzatullah sahaja berjalan pulang sendirian. Muhammad Izzatullah memberi­tahu selepas melihat sebuah motosikal yang mencurigakan meluru ke arahnya, dia terus melarikan diri ke rumah.

“Ketika kejadian adik saya berada dalam keadaan meraung kesakitan dan minta pertolongan. Mangsa terus berpaut kepada abangnya, Muhammad Zikri Azrin dengan kaki yang berlumuran darah sebelum dihantar ke klinik Kesihatan Bachok,” katanya.

Muhammad Fazie yang juga merupakan seorang polis bantuan berkata, pengesahan mengenai tembakan itu diketahui selepas doktor yang merawatnya memberi­tahu terdapat peluru pistol pada pahanya.

“Ketika kejadian berlaku, saya se­dang menjalankan rondaan di se­kitar kawasan Tawang. Saya ha­nya mengetahui kejadian berkenaan pa­da pukul 2 pagi selepas dimaklumkan oleh ahli keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut menafikan penyebaran di laman-laman sosial kononnya adiknya adalah suami kepada salah seorang suspek pukul seorang wanita baru-baru ini.

“Saya kesal dengan penyebaran berita yang tidak berasas itu. Dia seorang yang peramah dan ramai kawan tetapi belum berkahwin. Saya yakin dia tidak ada kena me­ngena dengan mana-mana suspek pukul wanita yang diviralkan sebelum ini,” katanya.

Utusan 4 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment