December 4, 2015

Budak maut terkena bom ikan

Keadaan rumah setinggan atas air yang musnah selepas bom ikan meletup sehingga mengorbankan seorang kanak-kanak di Kampung Hidayat, Pulau Bum-Bum, Semporna kelmarin.

KOTA KINABALU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun terbunuh manakala empat yang lain cedera dipercayai akibat terkena letupan bom ikan di sebuah rumah setinggan atas air di Kampung Hidayat, Pulau Bum-Bum di Semporna kelmarin.

Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Julpi Elexson yang mati di tempat kejadian dan yang cedera dikenali sebagai Masitah Elexson, Rashi Elexson, Dantai Kaldi dan Noaidah Tirun, yang dipercayai melarikan diri dan sedang diburu polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, siasatan polis mendapati, kejadian pukul 6 pagi itu berlaku apabila sembilan anggota dari sebuah keluarga cuba memasang bom ikan.

Kosmo 4 Dis 2015


Budak maut terkena bom

LOKASI kejadian letupan bom ikan. FOTO ihsan Polis

Semporna: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut manakala empat lain dipercayai ahli keluarganya, cedera selepas dipercayai terkena letupan bom ikan di rumah mereka di perkampungan atas air Kampung Hidayat, Pulau Bum-Bum, Semporna, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, Julpi Elexson, mati serta-merta sebelum dikebumikan sendiri oleh bapa mangsa sejurus selepas kejadian itu.

Empat mangsa yang cedera dikenali sebagai Masitah Elexson, 27, dan adiknya Rashi, 10; Dantai Kaldi, 27, dan seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Noaidah Tirun.

Terdahulu, bunyi letupan kuat itu didengari jiran sebelum menghubungi pihak berkuasa memaklumkan perkara itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan.

"Sebaik tiba, polis mendapati rumah didiami 11 individu masing-masing dipercayai mempunyai tali persaudaraan itu sudah ranap sepenuhnya.

"Polis kemudian melakukan soal siasat terhadap pemilik rumah berusia 50 tahun sebelum mengaku berlaku satu letupan menyebabkan salah seorang anaknya meninggal dunia," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, sebentar tadi.

Jalaluddin berkata, bapa mangsa turut menunjukkan lokasi anaknya ditanam sebelum digali dan mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Semporna untuk bedah siasat.

"Empat lain yang mengalami kecederaan turut dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

"Bapa mangsa kemudian ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurut Jalaluddin, kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

myMetro 3 Disember 2015


Bom ikan meletup dalam rumah

Seorang kanak-kanak maut, empat ahli keluarga cedera

KOTA KINABALU 3 Dis. - Seorang kanak-kanak maut manakala empat lagi ahli keluarganya cedera selepas bom ikan yang sedang dipasang oleh bapa mangsa di rumah mereka di Kampung Hidayat, Pulau Bum-Bum, Semporna, di sini meletup.

RUMAH mangsa bom ikan roboh apabila bom tersebut meletup dan mengorbankan seorang kanak-kanak di Pulau Bum Bum, Sabah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi semalam, kanak-kanak malang itu, Julpi Elexson, 6, meninggal dunia serta-merta akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Lebih mengejutkan apabila mayat mangsa kemudian dikebumikan oleh ahli keluarganya yang risau kegiatan haram mereka memasang bom ikan dihidu pihak berkuasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, ekoran kejadian itu, pihaknya menahan bapa mangsa, Elexson Jundai, 50, dipercayai dalang kegiatan haram tersebut.

Menurutnya, semasa laporan awal dibuat, suspek mendakwa rumah mereka didatangi seorang lelaki tidak dikenali sebelum melempar bom hingga meletup.

“Bagaimanapun hasil siasatan dan temu bual orang awam membongkar kegiatan suspek yang aktif melakukan kegiatan memasang bom ikan selain telah mengebumikan anak lelakinya bagi mengelak dicekup pihak polis atas kesalahan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jalaluddin menjelaskan, empat lagi mangsa yang cedera masing-masing Dantai Kaldi, 27; Masitah Elexson, 27; Noaidah Tirun, 20-an, serta adik Masitah, Rashi Elexson, 10, telah mendapatkan rawatan di Hospital Semporna.

Ujar beliau, tiga lagi suspek dipercayai turut mengalami kecederaan telah melarikan diri dan sedang di­buru polis.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, siasatan pihaknya ke atas rumah suspek tidak menemukan sebarang serpihan letupan bom dan percaya bukti tersebut telah dibersih­kan suspek.

Tambahnya, siasatan juga mendapati kesemua ahli keluarga itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pihaknya juga akan memohon mahkamah supaya membenarkan pasukan polis menggali semula kubur kanak-kanak malang itu bagi tujuan bedah siasat dan melengkapkan siasatan.

“Setakat ini, kita menahan seorang suspek dan memburu tiga ahli keluarga yang dipercayai terlibat secara langsung dalam pemasangan bom ikan itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan,” katanya.

Utusan 4 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment