December 6, 2015

Peniaga dibunuh kerana hutang RM4.11j

AH HAN yang memandu kereta Mercedes-Benz mati ditembak di Hatyai, Selatan Thailand kelmarin selepas dia berhutang sebanyak RM4.11 juta dengan seorang ahli perniagaan Malaysia.

SONGKHLA 5 Dis. - Motif pembunuhan ahli perniagaan Malaysia Lee Ah Han di Hatyai semalam adalah kerana perselisihan perniagaan melibatkan hutang berjumlah 35 juta baht (RM4.11 juta) kepada seorang ahli perniagaan dari Malaysia, menurut polis selatan Thailand.

Ketua Polis Mukim Thunglung, Kolonel Polis Vichapan Chantraporn berkata, maklumat perisikan polis mendapati bahawa mangsa ada masalah hutang sebanyak 35 juta bath yang dibayar menggunakan cek tendang dan telah berlanjutan selama enam bulan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti ahli perniagaan tersebut.

Lee Ah Han, 54 tahun, juga dikenali sebagai Ali Baba merupakan ahli perniagaan hartanah yang mati ditembak semalam di daerah Hatyai ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai bersama isterinya Mayuree Thipmani, 42 tahun.

Mayuree cedera parah dalam kejadian tersebut.

Hari ini pihak polis yang melakukan siasatan kes pembunuhan tersebut telah mengadakan mesyuarat di balai polis Thunglung, Hatyai, Songkhla, untuk merungkai fakta kes pembunuhan tersebut.

Selain itu, pegawai polis mencari bukti dan meneliti kamera litar tertutup di tempat kejadian dan kawasan berdekatan untuk mengenal pasti kereta suspek.

Ah Han adalah seorang ahli perniagaan yang terkenal di sempadan Malaysia-Thailand khasnya di Danok, Sadao dan beliau turut menjadi orang tengah dalam urusan jual-beli tanah di Danok yang melibatkan ahli perniagaan Malaysia. – BERNAMA

6 Dis 2015


Ahli perniagaan maut, 
isteri parah ditembak di Hatyai

ALOR SETAR 4 Dis. – Seorang ahli perniagaan Malaysia maut, manakala isterinya parah selepas ditembak bertubi-tubi dengan senjata M-16 ketika dalam perjalanan ke bandar Hatyai, selatan Thailand, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari waktu tempatan (1 petang Malaysia) semasa mangsa Lee Ah Han, 54, dan isterinya berusia 40-an yang juga warga Malaysia dalam perjalanan dari sempadan Malaysia-Thailand di Danok ke Hatyai.

Menurut sumber, semasa tiba di persimpangan lampu isyarat di Ban Khlong Pom, Kanchanawanit Sadao-Hatyai Road iaitu kira-kira 45 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand, kedua-dua mereka yang menaiki kereta Mercedes-Benz didatangi dua lelaki menaiki sebuah kereta.

“Suspek kemudian melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah Ah Han dan isterinya sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah sumber itu, Ah Han yang juga dikenali sebagai Ali Baba, berasal dari bandar ini dan terlibat dalam pelbagai projek hartanah di selatan Thailand meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Dengan bantuan orang ramai, isteri mangsa dihantar ke Hospital Prince of Songkhla University (PSU) untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian itu oleh pihak berkuasa kira-kira pukul 3 petang.

Katanya, beberapa ahli keluarga juga sedang berada di Hatyai untuk urusan menuntut mayat dan melawat isteri mangsa yang kini berada dalam keadaan stabil.

Utusan 5 Dis 2015


0 comments:

Post a Comment