December 9, 2015

Berjuang biarpun dikelar

Kuala Lumpur : Anggota polis wanita putus urat leher akibat dikelar dua lelaki yang cuba menyamunnya di Danau Kota, Setapak, dalam kejadian kira-kira 7 pagi semalam.

Lans Koperal berusia 27 tahun itu dan bertugas di Balai Polis Gombak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad, berkata dalam kejadian itu mangsa sedang berjalan dari rumah untuk membeli sarapan tidak jauh dari kawasan kediamannya.

"Ketika melalui kawasan Tanah Perkuburan Islam Danau Kota, anggota itu dihampiri dua lelaki bermotosikal sebelum tiba-tiba mengacu pisau ke arahnya.

"Suspek kemudian mengarahkan anggota itu menyerahkan barangan berharga miliknya sebelum berlaku pergelutan," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Menurutnya, ketika bergelut dalam cubaan untuk mempertahankan diri, seorang daripada suspek kelar leher mangsa dengan objek tajam dipercayai pisau.

"Meskipun cedera, anggota berkenaan masih berusaha menahan suspek, namun mereka dapat melarikan diri tanpa sempat merampas barangan berharga milik mangsa," katanya.

Beliau berkata, beberapa remaja melalui lokasi kejadian membantu menghantar mangsa pulang ke rumahnya sebelum dihantar oleh adik iparnya ke Klinik Kesihatan Gombak Setia, bagi mendapatkan rawatan awal.

"Akibat kecederaan serius, anggota berkenaan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menjalani pembedahan pada lehernya.

"Usaha menjejaki kedua-dua suspek sedang dijalankan selepas mendapat maklumat daripada mangsa sebaik selesai menjalani pembedahan," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Rakan Cop Polis KL di 03-21159999 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata anggota itu bertugas di Bahagian Tugas Am, Balai Polis Gombak, masih menjalani rawatan dan dilaporkan stabil.

myMetro 8 Dis 2015


Pulang darah bercucuran

Kuala Lumpur: “Saya cemas sebaik melihat kakak ipar berlumuran darah sambil menekap lehernya yang cedera parah dikelar penjenayah,” kata Muhamad Ikhram Omar, 20an, berhubung kejadian rompakan membabitkan anggota polis, Lans Koperal Normaswanida Alias, 27.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 7 pagi kelmarin, ketika kakak iparnya mahu membeli nasi lemak di sebuah warung berdekatan rumah di Danau Kota, Setapak di sini.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu sebaik melihat kakak ipar pulang ke rumah dalam keadaan lemah dan berlumuran darah.

“Kakak dihantar tiga remaja lelaki jam 7.45 pagi. Ketika itu dia memegang leher yang berdarah teruk,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.

Menurutnya, dia bersama ibu kemudian segera menghantar kakak iparnya ke Klinik Kesihatan Gombak Setia untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

myMetro 9 Disember 2015


0 comments:

Post a Comment