December 4, 2015

Bangun tidur jatuh sungai


ANGGOTA JPAM dan bomba mengangkat mayat Edy 

Sungai Petani: “Saya terjaga apabila tiba-tiba terdengar jeritan meminta tolong dari dalam sungai pada awal pagi (semalam), lalu terus melihat ke dalam sungai dan ternampak objek tenggelam timbul sedang hanyut, tetapi gagal untuk membantunya.”

Begitu kata Mohd Soufi Othman, 28, rakan kepada Edy Rosnizam Mohamad, 33, yang mayatnya ditemui di pesisir pantai Kampung Tepi Sungai, Kota Kuala Muda, di sini, iaitu kira-kira satu batu nautika dari tempat dilaporkan terjatuh kira-kira jam 6 petang semalam.

Difahamkan, sebelum itu mangsa yang tidur seorang diri di dalam botnya tiba-tiba terjatuh ke dalam Sungai Muda berhampiran Pusat Pendaratan Ikan di kampung berkenaan lalu dihanyut arus sungai kira-kira jam 3 pagi.

Mohd Soufi berkata, dia yang tidur di atas jeti ternampak seseorang berada dalam keadaan tenggelam timbul dibawa arus tanpa mengetahui kelibatnya selepas memeriksa sebaik mendengar jeritan terbabit.

Menurutnya, dia kemudian berlari ke bot dan mencapai tong minyak lalu membaling ke arah mangsa, tetapi tidak sampai kerana arus agak kuat sebelum menyedari Edy tiada di dalam bot.

“Saya kemudian menghidupkan enjin bot dan bergegas ke arah tempat Edy dilihat, namun sebaik tiba di lokasi mendapati dia (Edy) sudah hilang lalu cuba mencari di kawasan sekitar, namun gagal sebelum naik ke pangkalan bagi meminta bantuan nelayan lain.

“Sebelum kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, saya tiba di jeti dan melihat Edy sudah berada di dalam botnya lalu kami naik ke atas untuk berbual selama 30 minit sebelum mangsa turun ke botnya untuk tidur kerana perlu keluar ke laut kira-kira jam 7 pagi (semalam),” katanya ketika ditemui di lokasi, di sini.

Kakak mangsa Sharifah, 44, berkata kali terakhir dia berjumpa dengan adik lelakinya pada petang Selasa lalu sebelum dimaklumkan mangsa pergi ke jeti Kampung Tepi Sungai untuk keluar ke laut menangkap ikan kira-kira jam 7 pagi semalam.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian apabila menerima panggilan telefon memberitahu Edy hilang selepas terjatuh ke dalam sungai ketika sedang tidur di dalam botnya lalu membuat laporan di Balai Polis Kota Kuala Muda, di sini, untuk mendapatkan bantuan.

“Edy memang selalu tidur di dalam botnya kerana bimbang tidak mampu terjaga awal pagi selain takut peralatan menangkap ikannya dicuri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu Penolong Penguasa Bomba Mohd Razmi Abd Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 8.36 pagi memaklumkan ada kejadian nelayan hilang di dalam muara Sungai Muda berhampiran Kampung Tepi Sungai, Kota Kuala Muda, di sini.

Katanya, pihaknya bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera dan sebuah bot serta 16 anggota termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPdA) selain dibantu bot polis marin, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta nelayan.

“Gerakan mencari dan menyelamat segera dilancarkan sebelum mayat mangsa ditemui kira-kira satu batu nautika dari lokasi dia terjatuh di muara Sungai Muda, di sini, kira-kira jam 6.09 petang ini (semalam),” katanya.

myMetro 4 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment