December 4, 2015

2 peniaga sayur ditahan menyamar polis

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Polis menahan dua lelaki yang dipercayai menyamar sebagai polis untuk melakukan aktiviti jenayah di Jalan SS/15, Subang Jaya dekat sini, semalam.

Turut dirampas ialah sepucuk pistol tiruan, sebilang parang, tiga pisau lipat, sebuah buku saku berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM), playar, gunting, sebotol penyembur lada dan empat rangkai kunci motosikal serta sarung tangan hitam yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Lee Swee Meng berkata, kedua-dua suspek merupakan peniaga sayur di sebuah pasar borong di Selayang berusia 31 tahun dan 36 tahun.

Menurut beliau, mereka dikesan pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dalam keadaan mencurigakan di bulatan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya sebelum polis mengejar mereka kerana cuba melarikan diri.

“Ketika melarikan diri, motosikal yang dinaiki mereka terbabas di Jalan SS15/4G.

“Mereka ditahan reman sejak semalam sehingga 6 Disember ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini hari ini.

Menurut Swee Meng, hasil pemeriksaan turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin dan mempunyai rekod berkaitan kes dadah.

Jelasnya, kes di siasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Sesyen 36 Akta Senjata 1960.- UTUSAN ONLINE

 3 Disember 2015


Sembur serbuk cili

Subang Jaya: Dua penjenayah dikesan mencipta ramuan serbuk cili khas yang sengaja disemburkan ke mata mangsa ketika melakukan rompakan.

Suspek turut membawa bersama sepucuk pistol mainan palsu bagi menakut-nakutkan mangsa yang ditemui berjalan bersendirian.

Kegiatan jenayah suspek bagaimanapun ditumpaskan polis selepas anggota polis peronda mengesan kelibat penjenayah di Jalan Persiaran Kewajipan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, suspek lelaki berusia 31 dan 36 tahun itu berjaya ditahan polis selepas berlaku pergelutan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Lee Swee Meng berkata, suspek yang menunggang motosikal model Yamaha LC135 melarikan diri sejurus diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

“Polis mengejar suspek sejauh kira-kira 10 kilometer sebelum motosikal yang dinaiki suspek terbabas.

“Berlaku pergelutan antara suspek dan polis sebelum mereka berjaya ditahan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, semalam.

myMetro 4 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment