December 4, 2015

Gundah hilang rumah

SULIMAN menerima bantuan daripada Pasaraya Econsave Cawangan Skudai yang diwakili Mas Imran (kanan).

Johor Bahru: “Saya mempunyai tempoh 20 hari untuk tinggal di rumah ini sebelum ia dilelong. Dalam keadaan saya yang hilang upaya untuk bekerja, sukar untuk menyelesaikan baki hutang kediaman ini,” kata orang kurang upaya (OKU), Suliman Jaafar, 46.

Kisah sedih Suliman dikongsi warga prihatin di laman sosial Facebook (FB) sejak kelmarin. Suliman memerlukan bantuan RM6,000 bagi menyelesaikan baki hutang rumah terletak di Taman Teratai, Skudai di sini, dihuni bersama isteri, Nor Hashidah Hussein, 43, dan lima anak mereka iaitu Mohamad Danni Hazim, 3, Nur Dania Azeera, 5, Nur Diana Amira, 10, dan Mohamad Danial Haikal serta Mohamad Danish Haziq, kedua-duanya berumur 14 tahun.

Jika Suliman gagal melunaskan hutang terbabit, rumah itu akan dilelong pada 23 Disember ini.

Suliman berkata, dia masih tidak menemui jalan penyelesaian bagi menyelamatkan kediaman keluarga yang dibeli sejak 15 tahun lalu itu.

“Saya berdepan kesulitan untuk membayar ansuran rumah sejak lima bulan lalu selepas berhenti kerja sebagai pemandu van di sebuah syarikat swasta di bandar raya ini.

myMetro 3 Disember 2015


Insan mulia langsai hutang RM10,000

SULIMAN lega rumah didiami kekal dalam pemilikannya.

Johor Bahru: “Hanya Allah dapat membalas jasa baik beberapa insan mulia yang menyalurkan bantuan RM10,000 tanpa mahu mendedahkan identiti, sekali gus melangsaikan hutang rumah dan mengelak satu-satunya aset saya daripada dilelong,” kata lelaki orang kurang upaya (OKU), Suliman Jaafar, 46, semalam.

Suliman berkata, hasrat keluarganya untuk membayar balik sumbangan berkenaan secara ansuran sekiranya mampu berbuat demikian turut ditolak penyumbang terbabit yang tidak mengharapkan sebarang balasan.

Keluarganya kini mampu menarik nafas lega untuk terus tinggal di kediaman keluarganya berusia 15 tahun itu yang terletak di Taman Teratai, Skudai di sini.

“Dalam usaha membatalkan lelongan, saya terpaksa melangsaikan hutang RM10,000 termasuk kadar bunga kira-kira RM4,000 biarpun tunggakan asalnya hanya RM6,000 selain bagi prosedur pelepasan geran rumah pula, saya dinasihatkan untuk melantik peguam.

“Penyumbang berkenaan datang ke rumah secara berasingan dan mereka tidak mahu mendedahkan identiti sebaliknya menyatakan wang diberikannya tidak perlu dipulangkan.

“Saya terharu ketika itu dan yakin ia berkat doa orang ramai kepada keluarga kami yang menempuhi keadaan sukar sehingga Allah menghantar insan mulia itu untuk membantu,” katanya.

Suliman berkata, keluarganya juga menerima kunjungan daripada beberapa individu termasuk dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan seluruh Johor semata-mata mahu menyalurkan bantuan termasuk barangan keperluan rumah dan kelengkapan sekolah tiga anaknya.

“Sokongan moral diberikan mereka amat bermakna bagi membolehkan saya kembali bersemangat dan berusaha untuk mencari rezeki bagi keluarga pada masa depan biar pun bergelar OKU,” katanya.

Pada 3 Disember lalu, akhbar ini menyiarkan kisah seorang lelaki OKU yang hanya mempunyai tempoh 20 hari untuk tinggal di rumah keluarga sebelum ia dilelong.

Kisah kesempitan hidup ditanggung bapa kepada lima anak berkenaan menjadi tumpuan pelbagai pihak selepas ia tersebar di media sosial facebook (FB) pada 1 Disember lalu.

myMetro 7 Dis 2015






0 comments:

Post a Comment