December 17, 2015

4 penyamun tidak hirau rayuan

BASRY menunjukkan tangan kirinya yang cedera ditetak.

Batang Kali: “Jangan apa-apakan kami, aku tak halang, aku berikan apa yang kau nak,” kata Basry Abu Bakar, 47, ketika didatangi empat lelaki bersenjata parang di depan rumahnya di Jalan Semarak 3, Taman Semarak, di sini, kelmarin.

Kejadian jam 10.50 pagi itu berlaku ketika mangsa dan isterinya baru tiba di rumah mereka selepas membeli barangan di pasar berhampiran.

Walaupun merayu supaya tidak dicederakan namun Basry terpaksa menahan kesakitan apabila seorang daripada lelaki terbabit menetak pergelangan tangan kirinya kerana menyangka dia mahu menyerangnya.

Tetakan itu menyebabkan tangan kirinya terpaksa menerima 10 jahitan.

Menurut pengurus projek berkenaan, pada awalnya dia tidak menyedari kehadiran suspek kerana sedang bercakap dengan seseorang di dalam telefon, sementara isterinya sedang mengeluarkan barang di tempat duduk belakang.

“Saya menyedari ada kekecohan, sebaik saya buka pintu kereta dan keluar tiba-tiba seorang lelaki melibas parang terkena tangan kiri. Dalam keadaan cemas itu saya nampak tiga lelaki menghayun-hayun parang, saya minta supaya tidak diapa-apakan dan saya berikan apa mereka mahukan.

“Isteri saya ditolak dan terduduk atas jalan dan mereka cuba menanggalkan gelang di tangannya. Itu pun saya tolong bukakan sebelum mereka sentap,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Menurutnya, suspek yang menaiki motosikal turut meragut beg tangan isterinya dan telefon bimbit yang terjatuh di atas jalan lalu beredar.

Katanya, kejadian menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM5,000 kerana kehilangan barang kemas, wang tunai, dua telefon bimbit termasuk dokumen milik isterinya.

Namun, Basry bersyukur kerana isterinya selamat dan beg duitnya yang berisi wang tunai tidak dilarikan penjenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, hasil siasatan mendapati terdapat empat orang suspek dan tiga bilah parang panjang digunakan dalam kejadian itu.

“Penjenayah menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z warna hitam tetapi mangsa tidak dapat mengecam nombor pendaftaran motosikal berkenaan, selain suspek memakai topi keledar bertutup penuh.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan operasi mengesan suspek kini sedang giat dijalankan,” katanya.

myMetro 15 Dis 2015



0 comments:

Post a Comment