December 17, 2015

26 rumah rosak dilanda ribut

KEADAAN sebahagian rumah di Permatang Pauh selepas dilanda ribut.

Bukit Mertajam: “Dinding rumah bergegar seperti mahu runtuh dan ketika itu, saya sempat melaungkan takbir beberapa kali dan kami enam beranak berpelukan kerana terlalu takut,” kata Amir Jamaludin, 35, menceritakan detik cemas ketika rumah mereka dilanda ribut di Kampung Permatang Janggus, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, 26 rumah di kawasan Permatang Pauh rosak akibat dilanda ribut yang disifatkan paling buruk sejak 30 tahun lalu.

Amir berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan empat anak berehat di luar dapur rumah sebelum melihat gumpalan angin pusar hitam membawa bumbung dipercayai dari kawasan perumahan berhampiran.

“Kami sekeluarga segera berlari ke dalam rumah dan ketika itu, dinding rumah saya bergegar seperti mahu tercabut.

“Isteri cuba menenangkan anak yang menangis, manakala saya pula cuba menahan tiang rumah kerana bimbang ia runtuh dan menghempap kami sekeluarga,” katanya.

“Sejurus angin kencang itu berlalu, saya mengarahkan isteri dan anak ke depan rumah sebelum bumbung dari rumah jiran jatuh dan menghempap tempat mereka berlindung beberapa minit kemudian,” katanya.

myMetro 15 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment