December 17, 2015

16 tahun terpaksa hidup bergelap

Awang Soh terpaksa menggunakan pelita minyak tanah untuk mengajar anak-anaknya mengaji al-Quran kerana tidak mampu menanggung kos pemasangan bekalan elektrik.

Awang Soh bersama isteri serta dua anaknya tinggal di rumah usang tanpa bekalan elektrik sejak 16 tahun lalu.

GUA MUSANG - Sebuah keluarga miskin di Kampung Jerek Dalam, Bertam, dekat sini, mendakwa telah 16 tahun hidup bergelap berikutan tidak berkemampuan untuk menampung kos pendawaian dan deposit elektrik.

Awang Soh Mamat, 72, berkata, dia sudah beberapa kali merujuk masalah kemiskinan keluarganya kepada pemimpin tempatan, namun sehingga kini belum mendapat perhatian yang diharapkan.

Menurutnya, keadaan itu membangkitkan kesedihan kepada dia, isterinya, Jang Awang Besar, 49, serta dua anak mereka yang mana salah seorang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Dua anak saya kerap mengeluh kerana terpaksa bergelap dan tak pernah rasa suasana malam yang disinari cahaya lampu. Saya juga semakin uzur berikutan faktor usia dan tak mampu lagi bekerja.

"Kami sekeluarga hanya berharap kepada pendapatan isteri saya yang mengambil upah menoreh getah, sekitar RM300 sebulan. Sekadar cukup belanja makan," katanya ketika ditemui di rumahnya kelmarin.

Awang Soh memberitahu, isterinya pernah ke pejabat cawangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bandar Gua Musang sebelum ini untuk bertanya mengenai kos deposit elektrik.

Katanya, pihak TNB memaklumkan sebanyak RM1,000 diperlukan sebagai deposit elektrik dan ia terlalu tinggi buat mereka sekeluarga.

"Kerana itu isteri saya terpaksa pulang dengan tangan kosong dan sehingga kini kami belum mampu menyediakan wang sebanyak itu. Terpaksalah kami terus guna pelita minyak tanah termasuk untuk ajar anak-anak mengaji al-Quran.

"Walaupun pakcik ada terima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun tetap tidak mampu untuk sediakan deposit bagi pemasangan bekalan elektrik," katanya.

Tambahnya, anaknya yang berstatus OKU, Che Mat, 14, masih belajar di kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerek, manakala seorang lagi anaknya, Che Ramli, 11, kini berada di darjah lima sekolah sama.

"Pakcik sudah buntu untuk memikirkan bagaimana mahu mendapatkan bantuan kemudahan elektrik kerana masalah kesihatan pakcik sendiri menjadi kekangan," katanya.

Sinar Harian 16 Dis 2015



Keluarga miskin ‘hidup bergelap’ 16 tahun

AWANG SOH MAMAT (tengah) sekeluarga terpaksa hidup tanpa bekalan elektrik akibat kesempitan hidup di Kampung Jerek Dalam, Gua Musang, Kelantan. UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG 15 Dis. – Kesempitan hidup yang dialami sebuah keluarga di Kampung Jerek Dalam di sini membuatkan mereka terpaksa hidup bergelap selama 16 tahun kerana tidak mempunyai bekalan elektrik.

Pasangan Awang Soh Mamat, 72, bersama isteri, Jang Awang Besar, 49, juga terpaksa mengharungi serba kepayahan untuk membesarkan dua anak yang berstatus orang kurang upaya (OKU), Che Mat, 13, dan Che Ramli, 11.

Awang Soh berkata, kekangan kewangan membuatkan mereka sekeluarga hidup dalam keadaan tidak selesa apabila terpaksa menggunakan lampu suluh dan pelita setiap malam.

Katanya, sebelum ini dia mengambil upah menoreh getah, namun tahap kesihatannya yang merosot sejak dua tahun lalu menyebabkan hanya isterinya yang menyara kehidupan mereka sekeluarga.

“Isteri saya hanya mendapat upah menoreh getah sebanyak RM300 sebulan dan hanya cukup untuk perbelanjaan dapur sahaja.

“Pendapatan isteri ditampung dengan bantuan yang saya terima sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala seorang anak saya mendapat bantuan persekolakan RM300 setahun, ini semua tidak mencukupi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Awang Soh, walaupun kedua-dua anaknya mempunyai masalah lembam dan ditempatkan di kelas pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Jerek, namun mereka menunjukan sikap yang rajin untuk belajar.

“Kos bagi kerja-kerja pendawaian dan memasang elektrik agak tinggi menyebabkan kami terpaksa melupakan hasrat untuk mendapat bekalan elektrik.

“Apabila malam, hati berasa sayu setiap kali melihat keadaan isteri yang teraba-raba dalam gelap dan anak-anak membaca buku dalam cahaya pelita.

“Saya berharap pihak yang berkenaan dapat membantu memulihkan harapan kami sekeluarga untuk mendapat bekalan elektrik seperti keluarga lain,” katanya.

Utusan 16 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment