Hashim berjalan kaki sambil membawa kereta sorong hampir 10 kilometer sehari untuk mencari rezeki.
CHICHA TINGGI - Demi mencari rezeki, seorang warga emas di Kampung Banggol Jering Apam gigih berjalan kaki sambil membawa kereta sorong hampir 10 kilometer sehari.
Hashim Awang, 74, berkata, dengan menggunakan kereta sorong itu, dia memperoleh hampir RM10 sehari, hasil menjual ulam-ulaman, sayur-sayuran, roti dan makanan ringan.
Menurutnya, dia memperoleh barang jualan tersebut daripada penduduk dan peniaga yang prihatin.
“Saya tak ada modal. Mereka percayakan saya untuk menjual barang niaga mereka dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
“Kalau banyak sayur-sayuran atau ulam-ulaman, maka banyaklah pulangan yang saya akan dapat,” katanya.
Sebelum ini Hashim berkata, disebabkan dia tidak pandai berbasikal, dia membawa sayur-sayuran dan ulaman-ulaman di bahu.
Namun atas rasa simpati penduduk di sini, dia memperoleh kereta sorong untuk membawa barang jualan mengelilingi beberapa kampung.
Menurutnya, berbekalkan wang itu juga, dia perlu melunaskan bayaran rumah sewanya sebanyak RM100 sebulan.
Sinar Harian 17 Disember 2015
0 comments:
Post a Comment