December 21, 2015

16 rakyat Malaysia terbunuh di Chiang Mai


Keadaan bas dinaiki pelancong Malaysia yang terbabit kemalangan di Chiang Mai, pagi tadi. FOTO ihsan Bangkok Post

Mangsa yang terkorban dalam nahas bas di Chiang Mai, tengah hari tadi, FOTO ihsan pembaca

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya 16 rakyat Malaysia terbunuh dalam kemalangan bas di Chiang Mai, Thailand, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan, bas yang dipercayai dinaiki 22 pelancong Malaysia itu hilang kawalan selepas melanggar kenderaan lain sebelum terjunam ke dalam gaung di Lebuhraya Chiang Mai-Chiang Rai berhampiran daerah Doi Saket.

Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa semua yang terkorban adalah warga Malaysia.

“Pengesahan identiti mangsa berdasarkan maklum balas daripada polis di lokasi kejadian. Bagaimanapun, kita masih mendapatkan maklumat lanjut.

“Sehingga kini, kita masih tidak tahu jumlah rakyat Malaysia yang cedera dalam kemalangan itu memandangkan tiada wakil kedutaan di wilayah Chiang Mai”€ katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini.

Bangkok Post melaporkan kejadian dipercayai berpunca daripada pemandu bas itu yang juga warga Thailand melanggar kereta sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kenderaan lain sebelum terjunam ke dalam gaung.

myMetro 20 Disember 2015


Rombongan dari Batu Pahat

Kuala Lumpur: Nahas bas di Chiang Mai, Thailand tengah hari tadi membabitkan rombongan rakyat Malaysia dari Batu Pahat, Johor.

Jumlah terkini yang terbunuh dalam nahas itu adalah 13 orang, manakala yang parah empat orang dan lima lagi cedera.

Agensi pelancongan yang menguruskan rombongan itu, Chiu Travel Sdn Bhd mengesahkan perkara itu, namun identiti yang terbunuh belum dapat didedahkan buat masa ini.

Pengurus Besarnya Terence Yung berkata, 13 yang terbunuh terdiri daripada lima lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20-an hingga 80-an.

Katanya mereka berasal dari Batu Pahat.

"Kami juga sedang berusaha mengenal pasti identiti mangsa yang dilaporkan terselamat melalui wakil syarikat di sana.

"Ahli keluarga yang terbabit boleh menghubungi pejabat kami ditalian 07-4335599/4335588/4315797, "katanya.

Dalam kejadian 12.20 tengah hari (1.20 tengah hari waktu Malaysia) itu, bas pelancong dinaiki terbabas selepas merempuh dua kereta dan tiang elektrik dalam kejadian di Jalan Chiang Mai-Chiang Rai (Lebuh raya 118) di Tambon Pamieng, daerah Doi Saket, 700 kilometer di utara Bangkok, Thailand.

Sementara itu, Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain ketika dihubungi Harian Metro, di sini, hari ini mengesahkan jumlah sebenar rakyat Malaysia yang terkorban adalah 13 orang.

“Dalam kejadian itu, kita dapat sahkan bahawa 13 mangsa (rakyat Malaysia) terkorban, empat parah dan lima cedera. Kita sudah menghantar dua pegawai kedutaan ke wilayah berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut terutamanya pengesahan identiti semua mangsa.

“Buat masa ini, kita sedang giat berusaha untuk mendapatkan pengesahan butiran identiti mangsa. Kelewatan pengesahan ini berlaku memandangkan kita tidak mempunyai wakil di wilayah itu.

“Bagaimanapun, kita dimaklumkan bahawa senarai mangsa yang terkorban tidak dapat dikeluarkan pada hari ini memandangkan usaha untuk mengenalpasti identiti mangsa masih dilaksanakan pihak polis,” katanya.

Berikut senarai penumpang bas berkenaan, namun belum dapat dipastikan siapa yang terbunuh atau cedera.

1. TAN YANG SOOON

2. TAN THIN THIN

3. TAN SUI HENG

4. KER BONG NGWANG

5. LOW CHEE LAN

6. KER SHIN HUI

7. ONG CHAI HONG

8. GOH BAK CHAI

9. ONG PEK MING

10. CHUA AH KIM

11. LUM SEE SENG

12. NG TOO HIYOK

13. LUM JIA MIEM

14. LIM AH GEK

15. LEE SIEW KIM

16. TEO TIEN CHOR

17. ONG CHUI HOE

18. KER AH HWEE

19. LIM GUAT HUAY

20. TENG KIAN MIN

21. WONG YOKE YING

22. PNG EE TING

myMetro 20 Disember 2015


Nafi pemandu cuba lari

Batu Pahat: Dakwaan kononnya pemandu bas pelancong yang terbabit kemalangan di Jalan Chiang Mai-Chiang Rai (Lebuhraya 118) di Tambon Pamieng, daerah Doi Saket, utara Bangkok, kelmarin, cuba melarikan diri adalah tidak benar.

Pengurus Besar Chiu Travel Sdn Bhd, Terrence Yung berkata, dakwaan itu tidak tepat selepas pihaknya menjalankan siasatan dan mendapatkan maklum balas daripada polis Thailand.

“Kami dapati ia tidak berasas dan difahamkan, kejadian berlaku apabila pemandu berkenaan cuba memintas kenderaan lain, malangnya hilang kawalan dan terbabas.

“Jadi ia tidak terbabit dalam mana-mana kemalangan sebelum bas itu terbabas seperti dilaporkan sebelum ini,” katanya selepas menghantar 15 waris ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di pejabatnya, di sini, semalam.

Terence berkata, waris 13 mangsa yang maut menerima pampasan insurans RM100,000 setiap seorang.

Pada masa sama, Terence berkata, pihaknya menguruskan perjalanan 15 waris membabitkan tujuh keluarga yang maut dalam kemalangan itu ke Thailand.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat pada jam 4 petang melalui wakil agensi di Thailand sebelum menubuhkan pasukan khas mengenal pasti kedudukan pelanggan serta kakitangan.

Beliau berkata, pihaknya memaklumkan kepada waris mengenai tragedi itu pada jam 5 petang.

“Kami mengambil masa lama kerana pelanggan dan kakitangan dihantar ke empat hospital berbeza iaitu Bangkok Hospital, McCormick Hospital, Doi Saket Hospital dan Suan Dok Hospital.

“Berdasarkan nama, nombor pasport dan bantuan rakan di Thailand, kami berjaya mengesan dan mengenal pasti identiti mangsa serta kedudukan mereka.

“Selepas mendapat pengesahan pihak berkuasa Thailand sebanyak tiga kali, barulah kami memaklumkan kepada waris sama ada keluarga mereka terkorban atau cedera dalam kejadian itu,” katanya.

Terrence berkata, 15 waris membabitkan tujuh keluarga yang berlepas ke Bangkok pada jam 1 tengah hari semalam menaiki Thai Airways dan menaiki pesawat jam 5 petang ke Chiang Mai.

“Kami menugaskan tiga kakitangan menemani mereka, selain mengharapkan bantuan Kedutaan Malaysia di negara berkenaan.

“Kami juga menguruskan pengeluaran sijil kematian dan laporan polis berkaitan kemalangan itu untuk proses membawa pulang mayat,” katanya.

Menurutnya, urusan membawa pulang mayat mengambil masa antara empat hingga tujuh hari.

myMetro 22 Disember 2015


Potret keluarga kali terakhir

STATUS terakhir di Facebook milik Png Ee Ting.

Batu Pahat: “Mereka sempat memuat naik gambar keluarga menerusi aplikasi WeChat sebelum empat daripada enam beranak itu maut dalam kemalangan,” kata Lim Poh Teot, waris kepada mangsa kemalangan di Chiang Mai, Thailand, petang kelmarin.

Lim, 50, adik ipar kepada Tan Yang Soon, 64, yang cedera ringan bersama anak saudaranya, Ker Shin Hui, 28, yang kini mendapatkan rawatan di hospital berhampiran Chiang Mai.

Empat ahli keluarga lain, Low Chee Lan, 85, pasangan suami isteri Tan Sui Heng, 54, dan Ker Bong Ngwang, 57, serta anak mereka, Tan Thin Thin, 38, meninggal dunia dalam kejadian itu.

Lim berkata, gambar itu dihantar kepadanya jam 2 petang kelmarin dan dia diberitahu mereka gembira dengan percutian berkenaan.

“Namun, jam 6 petang, cubaan menghubungi mereka gagal sehingga menimbulkan kebimbangan ahli keluarga lain,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

myMetro 22 Disember 2015



'Bapa cuba tarik brek tangan'

Batu Pahat: “Dalam keadaan panik, ayah cuba menarik brek tangan bas namun gagal. Pemandu tidak dapat mengawal bas sehingga menjunam ke tebing jalan,” kata Tan Sien Nian, 36, menceritakan detik cemas dialami bapanya, Tan Yang Soon ketika pertemuan mereka di Chiang Mai, Thailand, Isnin lalu.

Dalam kejadian itu, Yang Soon, 64, cedera parah bersama anak saudaranya, Ker Shin Hui, 28, selepas bas persiaran dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Chiang Mai-Chiang Rai (Lebuhraya 118) di Tambon Pamieng, Doi Saket, kira-kira 700 kilometer utara Bangkok.

Sien Nian berkata, bapanya meluahkan dari awal lagi dia merasakan mereka tidak sepatutnya menaiki bas terbabit.

Dalam kemalangan itu, kakaknya, Tan Thin Thin, 39, nenek, Low Chee Lan, 85, pasangan suami isteri, Tan Sui Heng, 54, dan Ker Bong Ngwang, 57, antara yang terkorban.

Sien Nian berkata, bapanya mula berasa tidak sedap hati selepas agensi menguruskan perjalanan mereka di Thailand membuat keputusan untuk menukar bas dua tingkat kepada bas biasa.

myMetro 24 Disember 2015


0 comments:

Post a Comment