November 11, 2015

Warga emas dibunuh anak sendiri


ANGGOTA polis mengangkat mayat Wan Yah yang ditemui mati di Pangsapuri Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Cheras semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menemui mayat seorang wanita warga emas dipercayai dibunuh dua anaknya di Blok D, Pangsapuri Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mang­sa, Wan Yah Wan Mat, 63, ditemui terbaring di ruang tamu rumah yang berada di tingkat 16 blok tersebut bersama dua anaknya masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia 25 dan 22 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, pihak polis tiba ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada seorang pengadu menyatakan terdapat limpahan air keluar daripada pintu rumah itu.

“Sebaik anggota polis daripada Balai Polis Salak Selatan tiba ke lokasi kejadian, pintu rumah ber­kenaan didapati berkunci.

“Kita meminta bantuan daripada pihak bomba dan penyelamat untuk memecahkan pintu tersebut sebelum menemui wanita warga emas itu terbaring di ruang tamu selain mendapati kedua-dua anaknya berada di dalam rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, pegawai perubatan daripada Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Kosmo 11 Nov 2015


Dua beradik direman, dirujuk ke HKL

Kuala Lumpur: Dua beradik lelaki dan perempuan yang ditahan selepas mayat ibu mereka ditemui dengan kesan lebam dan bengkak di muka serta kepala di Pangsapuri Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, semalam direman selama seminggu bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, berkata, dua beradik berusia 22 dan 25 tahun itu direman sehingga 17 November untuk membantu siasatan berkait kes berkenaan.

Katanya, mereka turut dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pemeriksaan psikiatri kerana dipercayai mengalami masalah mental yang tidak stabil.

"Kes ini masih dalam siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan tahanan reman yang dikenakan terhadap suspek untuk membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.

"Kedua-dua beradik yang juga penuntut Universiti Awam itu dipercayai mengalami gangguan mental. Polis akan merujuk pihak HKL untuk mendapatkan maklumat mengenai tahap kesihatan suspek untuk bantu siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, dua beradik itu ditahan berikutan penemuan mayat ibu mereka, Wan Yah Wan Mat, 63, di ruang tamu tingkat 16 pangsapuri berkenaan.

myMetro 11 November 2015


Kakak maafkan perbuatan adik sebabkan kematian ibu

TUMPAT 11 Nov. – “Saya maafkan adik, kerana saya tahu perbuatannya itu di luar sedar.”

Itu luahan salah seorang anak Wan Yah Wan Mat, 63, mangsa yang mati selepas dipukul ketika cuba meleraikan pergaduhan antara anak lelaki dan anak perempuannya dalam kejadian di tingkat 16, Pangsapuri Sri Penara, Bandar Permaisuri, Cheras, semalam.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 40, berkata, adik bongsunya yang berusia 22 tahun itu mengalami gangguan jiwa hampir setahun lalu malah banyak mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan moden dan tradisional termasuklah perubatan Islam.

Menurutnya, dalam tempoh hampir setahun lalu, adiknya juga telah beberapa kali tidak sedarkan diri namun tidak pernah bertindak agresif.

“Sebab itulah saya langsung tidak menjangkakan kejadian ini kerana kami melihat adik semakin sembuh.

“Bagaimanapun saya reda dengan pemergian ibu dan tetap maafkan adik kerana tidak ma­suk akal seorang anak tergamak membunuh ibu sendiri jika bukan dalam keadaan luar sedar,” kata­nya di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang ibu yang cuba meleraikan pergaduhan antara anak lelaki dan anak perempuannya maut selepas dipercayai di­pukul dalam kejadian di tingkat 16, Pangsapuri Sri Penara, Bandar Permaisuri, Cheras.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mayat, Wan Yah yang mengalami bengkak di belakang kepala, lebam di kepala serta cedera di mulut dan hidung ditemukan terbaring di ruang tamu rumah unit pangsapuri tersebut yang dipercayai milik anak sulungnya yang berada di Kelantan.

Dua anak mangsa masing-masing berusia 25 dan 22 tahun serta masih menuntut di dua universiti awam iaitu di Gombak, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan iaitu membunuh.

Tambah Nur, kali terakhir dia bertemu dengan ibunya itu pada tiga hari lalu sebelum arwah bertolak ke Kuala Lumpur.

Katanya, ketika itu, mereka berada di pusat perubatan Islam di Kota Bharu bagi merawat adiknya.

“Kami berbual panjang dan arwah ada mengadu mengenai penyakit darah tingginya dan saya berpesan supaya jangan lupa membawa bekalan ubat ke Kuala Lumpur.

“Arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan namun saya perasan ibu sangat gembira mungkin disebabkan penyakit gangguan jiwa yang dialami adik semakin sembuh,” ujarnya.

Utusan 12 Nov 2015


Dua beradik didakwa bunuh ibu

KUALA LUMPUR - Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam atas tuduhan membunuh ibunya, bulan lalu.

Muhamad Abdul Rahman dan adiknya, Ainul Mardhiah masing-masing penuntut universiti awam hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan.

Mereka didakwa membunuh Wan Yah Wan Mat di sebuah unit Flat Sri Penara, Jalan Sri Permaisuri, Bandar Tasik Permaisuri dekat sini antara 11 malam pada 9 November sehingga 4 petang keesokan harinya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan 29 Februari untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, polis menahan dua beradik tersebut bagi menyiasat kematian wanita itu.

Sinar Harian 30 Dis 2015


0 comments:

Post a Comment