November 11, 2015

Bayi sebulan mati didera bapa

MELAKA – Seorang bayi perempuan berusia le­bih sebulan meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa dera bapa kandungnya di kediaman mereka di Pangsapuri Kota Laksamana di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, bayi itu dilaporkan telah meninggal dunia oleh pihak Hospital Besar Melaka ketika dibawa untuk mendapatkan rawatan di hospital tersebut kira-kira pukul 3 pagi.

“Pihak polis menerima laporan berhubung kematian bayi tersebut dari pihak hospital kira-kira satu jam selepas mangsa dibawa oleh ibunya yang berusia 25 tahun ke hospital tersebut dalam keadaan kaku dan telah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, bedah siasat ke atas mayat mangsa telah dijalankan kira-kira pukul 3.30 petang kelmarin dan mangsa dipercayai mengalami kecederaan dalaman dengan kesan kecederaan pada bahagian kiri kepala serta retak tempurung kepala.

Kosmo 11 Nov 2015



Luluh hati seorang ibu, bayi dibunuh

BANDARAYA MELAKA - Luluh hati seorang ibu ketika menabur abu mayat bayinya yang disyaki dibunuh suami seperti yang dilaporkan akhbar ini semalam.

Menurut sumber, abu itu ditaburkan di laut dekat Ujung Pasir dengan ditemani anak perempuannya yang berusia 6 tahun dan beberapa jiran, Selasa lalu.

Sementara itu, lelaki yang ditangkap polis kerana disyaki membunuh anaknya Isnin lalu, sebenarnya mempunyai anak yang meninggal dunia pada usia enam bulan, bukan dua bulan seperti dilaporkan media.

Difahamkan, bayi itu adalah kakak kepada bayi berusia sebulan yang ditemui mati oleh ibunya yang berumur 25 tahun di sebuah rumah di sebuah pangsapuri di sini, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, bayi itu disahkan meninggal dunia selepas kira-kira seminggu selepas menerima rawatan di sebuah hospital.

“Bayi perempuan itu meninggal ketika usia enam bulan, bukan dua bulan semasa menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan hasil bedah siasat menunjukkan kematiannya akibat pendarahan dalaman.

“Bagaimanapun, polis mengemukakan permohonan inkues kepada mahkamah terhadap kes bayi yang difahamkan anak kedua lelaki berusia 27 tahun itu,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan bapa bayi itu ditahan polis kira-kira jam 5 petang Isnin lalu selepas dipercayai membunuh anaknya berusia sebulan dan didapati positif dadah.

Penangkapan lelaki itu dibuat selepas hasil bedah siasat mendapati bayi berkenaan mati akibat pendarahan dalaman dan retak tempurung kepala.

Kejadian itu terbongkar selepas isteri lelaki itu membawa bayi yang sudah kaku ke hospital kira-kira jam 3 pagi.

Menurut sumber jiran terdekat, sebelum ditangkap, suspek mengatakan anaknya terjatuh dari stroller hingga menyebabkan kematian bayi malang itu.

Sinar Harian 13 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment