November 9, 2015

Lelaki maut ketika hendak selamatkan anak tiri


MAYAT mangsa diangkat oleh anggota polis sebelum dihantar ke hospital hari ini. Foto: ABD RAZAK OSMAN

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam sebuah kolam takungan ketika hendak menyelamatkan anak tirinya di kawasan Taman Permata Semarak, dekat sini hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Mohd Razmi Abd Rashid berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Tarmimi Bahri, 24, berasal dari Padang Temusu, Tikam Batu.

Mohd Razmi berkata, mangsa dipercayai memukat ikan di kolam takungan itu dan terjatuh ketika cuba menyelamatkan anak tirinya, Mohd Syazwan Abdul Halim, 12, yang hampir terjatuh ke dalam kolam berkenaan.

Sejurus panggilan kecemasan diterima pada 3.33 petang tadi, pihaknya memulakan pencarian menggunakan teknik 'surface searching' dan mayat mangsa ditemui pada 4.24 petang tadi, katanya ketika dihubungi Bernama.

Ketika kejadian isteri mangsa, Noor Suzailana Abdullah, 36, dan bayi perempuannya berusia dua bulan berada di tempat kejadian. - Bernama

Kosmo 9 Nov 2015


Bapa lemas cuba selamatkan anak

Mangsa ditemui selepas pencarian dilakukan di kawasan kejadian.

SUNGAI PETANI – Hasrat murni seorang bapa menyelamatkan anak tiri yang lemas di loji takungan air Taman Semarak Fasa 1 akhirnya mengorbankan dirinya dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Mangsa, Mohd Tarmimi Bahri, 25, dari Kampung Tengah, Padang Temusu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas membantu Mohd Syazwan Abd Halim, 12, ketika mereka sedang menjala ikan di loji berkenaan.

Kejadian disaksikan isteri mangsa, Suzaina Abdullah, 36, bersama anak mereka, Haikal Putra, 5 bulan, dan dua lagi anak tiri mangsa yang turut bersama ketika kejadian.

Mohd Syazwan ketika ditemui berkata, dia gagal untuk menyeberang loji berkenaan seperti mana yang diminta Mohd Tarmimi yang lebih mesra dipanggil abah.

"Sampai ke tengah, saya rasa tak dapat nak berenang dan saya jerit minta tolong dekat abah. Abah yang ada dekat seberang terjun ke dalam air dan tolak saya untuk berpaut pada tebing.

"Tapi dalam sekelip mata, kami tak nampak lagi kelibat abah sehinggalah dia tenggelam," katanya.

Menurutnya, biarpun abah bukan bapa kandung, tetapi kasih sayang yang terjalin cukup erat membolehkan mereka sekeluarga sering menghabiskan masa bersama-sama memancing atau menjala ikan.

Arwah suka memancing

Ibu mangsa, Siti Suraya Abdullah, 44, berkata, dia baru sahaja sampai ke rumah Mohd Tarmimi sebelum anaknya itu memaklumkan mahu keluar menjala ikan.

"Dia cuma sempat tegur dan berborak ringkas sebelum keluar bersama isteri serta anak-anak.

"Sejak dulu memang arwah suka memancing dan menjala ikan. Itu hobi dia, kami tak pernah halang dan saya juga pernah teman dia pancing ikan sebelum ini," katanya.

Menurutnya, anak kedua daripada enam beradik itu berperwatakan baik dan seorang yang pendiam.

Walaupun masih muda, Siti Suraya tidak pernah menghalang hasrat Mohd Tarmimi ingin memperisterikan Suzaina yang sudah memiliki enam anak malah yakin beliau dapat membesarkan kesemua enam anak tiri berusia enam hingga 16 tahun dengan baik.

"Kami masih terkejut dengan berita ini, namun terima takdir ini dengan hati terbuka," katanya.

Loji bertakung

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon 2 (Taman Semarak), Khairul Anuar Zainol berkata, keadaan loji yang bertakung menjadi tarikan pemancing atau penjala ikan.

“Air loji sepatutnya lancar namun disebabkan tersumbat, air menjadi bertakung. Disebabkan itu, ia menjadi tarikan penggemar kaki pancing untuk mencuba nasib. Penduduk sudah tahu tahap bahaya menyebabkan mereka jarang mendekati kawasan ini.

Sinar Harian 10 Nov 2015


0 comments:

Post a Comment