November 26, 2015

Tiga polis cedera, lori rempuh treler parkir tanpa tanda amaran

TIADA AMARAN: Keadaan lori pasukan IPD Mukah selepas merempuh treler di bahu jalan raya di KM83 Jalan Sibu-Bintulu malam kelmarin.

SIBU: Tiga anggota polis terselamat selepas lori pasukan IPD Mukah mereka naiki merempuh sebuah treler diletakkan di bahu jalan raya di Kilometer 83 Jalan Sibu-Bintuku berdekatan persimpangan Mukah-Selangau malam kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 10 malam itu, tiga anggota berkenaan sedang dalam perjalanan ke Bintulu untuk urusan kerja apabila kemalangan itu terjadi.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau ketika dihubungi berkata, dua anggota mengalami kecederaan manakala seorang lagi cedera ringan.

“Ketiga-tiga anggota terbabit telah digegaskan ke Hospital Sibu dan tiba di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma pada jam 12 tengah malam,” katanya.

Menurutnya, dua anggota mengalami kecederaan termasuk seorang patah tangan kiri dan seorang lagi mengalami kecederaan di kepala.

Difahamkan seorang anggota mengalami patah tangan, 40, dan seorang cedera di kepala dimasukkan di wad untuk rawatan lanjut.

Jimmy berkata, lori dinaiki oleh tiga anggota itu melanggar belakang lori treler yang parkir di tepi jalan.

“Siasatan pihaknya mendapati pemandu lori treler tersebut tidak meletakkan sebarang tanda amaran atau alat segi tiga semasa kemalangan itu,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan dua mangsa terbabit kini dilaporkan stabil selepas menerima rawatan.

Kes tersebut kini dalam siasatan lanjut pihaknya.

Utusan Borneo 26 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment