November 26, 2015

Budak lelaki ditemui mati lemas di Taman Malihah

KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun ditemui mati lemas di sungai di Jalan Belatok, Taman Malihah, Matang di sini kelmarin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, mangsa iaitu Gerard Wenger ditemui lemas oleh orang awam di sungai berkenaan sekitar jam 6 petang.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan semasa dibawa ke klinik berdekatan untuk rawatan kecemasan.

“Komander operasi melaporkan seorang budak lelaki berumur 13 tahun dijumpai oleh orang awam di sungai tersebut dan dihantar ke Klinik 1Malaysia berhampiran.

“Bagaimanapun, pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” kata Farhan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) sebelum dituntut keluarga untuk upacara pengebumian.

Utusan Borneo 25 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment