November 18, 2015

Sakit saraf bukan penghalang cemerlang UPSR

Muhammad Ikhwan bersama keluarganya. Foto Shamsudin Husin

Chukai: Penghidap penyakit saraf, Muhammad Ikhwan Iziludin dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kerteh antara calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang mendapat 5A di negeri ini.

Anak pertama kepada juruteknik komputer itu berkata, walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU) ia tidak menghalangnya untuk meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Menurutnya, rahsia kejayaannya adalah fokus ketika belajar.

Katanya, restu keluarga terutamanya ketika hari peperiksaan juga membantunya menjawab peperiksaan dengan tenang walaupun tangan agak sukar menulis kerana penyakit saraf dihidapinya.

"Saya berhasrat untuk sambung belajar di Sekolah Menengah Agama Imtiaz kelolaan kerajaan negeri selepas ini," katanya.

myMetro 17 November 2015


Sakit saraf tak halang berjaya

KERTEH - Terpaksa berhenti menulis lebih tiga kali dalam10 minit ketika menjawab soalan tidak menghalang anak mekanik komputer memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015.

Muhammad Ikhwan Iziludin, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kerteh berkata, dia terpaksa meletakkan pensel seketika setiap kali tangannya terasa kebas akibat gangguan saraf yang ditanggungnya.

Katanya, penyakit itu juga membuatkannya terpaksa berhenti menulis sangat lama lebih 10 minit ketika menjawab Kertas Matematik apabila tangannya bukan sahaja kebas, tetapi turut sakit.

“Jadi untuk Kertas Matematik, saya diberi masa tambahan kerana terpaksa berehat lebih 10 minit membuatkan saya tidak sempat menjawab semua soalan mengikut masa diberikan.

“Namun bagi kertas lain saya dapat jawab semua soalan mengikut masa diberikan selama satu jam setengah,” katanya selepas menerima slip keputusan UPSR 2015 di SK Kerteh, semalam.

Muhammad Ikhwan berkata, kepayahan yang dialaminya itu menjadikan keputusan cemerlang yang diraihnya itu cukup istimewa dan menjadi hadiah bermakna buat kedua ibu bapanya,Iziludin Endut, 40, dan Nor Zarina Badri, 40.

“Sebenarnya saya tak taruh harapan tinggi, saya tak sangka pun akan dapat 5A. Sebab itu saya bersyukur lepas tengok slip keputusan.

“Sebagai anak sulung dan ada dua adik, saya nak jadikan kejayaan saya ini sebagai motivasi kepada adik-adik saya juga,” katanya yang menghidap penyakit gangguan saraf sejak berumur empat tahun.

Disebabkan penyakit itu, Muhammad Ikhwan juga memiliki kad OKU yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, menjadi pemegang kad OKU tidak membuatkannya rendah diri kerana dia berazam belajar sehingga berjaya sebagaimana pelajar normal lain.

Ditanya rahsia kejayaannya, menurutnya, sudah menjadi amalannya untuk meminta restu kedua ibu bapa sebelum ke sekolah setiap hari.

“Bagi saya, restu dan doa mak dan ayah penting kerana saya mahu ilmu diberkati ALLAH. Restu mak ayah juga buatkan saya lebih yakin semasa jawab peperiksaan. Selain itu saya juga ulang kaji secara konsisten sebelum duduki ujian,” katanya.

Katanya, dia akan menyambung belajar di mana-mana Sekolah Menengah Imtiaz selepas ini sebelum menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi lagi dan muncul salah seorang daripada dua calon berkeperluan khas yang mendapat 5A di Terengganu.

Sinar Harian 18 Nov 2015


0 comments:

Post a Comment