November 18, 2015

'Saya ulang kaji siang dan malam'

Natasya mendapat ciuman tahniah daripada ibu bapanya selepas pengumuman keputusan UPSR 2015.

Shah Alam: “Saya lemah dalam mata pelajaran Matematik dan sebulan sebelum peperiksaan, saya melakukan ulang kaji siang dan malam,” kata Natasya Elyana Li, murid Orang Asli yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan semalam.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia mahu mengikut jejak langkah kakaknya yang kini menuntut di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang turut cemerlang dalam UPSR dan memperoleh 5A.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Labohan Dagang, Kuala Langat itu mengatakan dia banyak membuat latihan, sering menghadiri kelas tambahan di rumah gurunya serta belajar secara berkumpulan.

“Saya mahu berjaya seperti kakak dan kerana itu saya perlu belajar bersungguh-sungguh.

“Kejayaan hari ini (semalam) adalah permulaan pertama untuk saya mencapai cita-cita menjadi doktor sekali gus membuktikan anak Orang Asli juga boleh berjaya,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Bukit Rimau, Seksyen 32..

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) Zainuren Mohd Nor mengumumkan keputusan UPSR peringkat Selangor di sekolah itu.

Seorang lagi murid Orang Asli yang mendapat 5A, Noorhaizah Rahman berkata, dia terkejut malah masih tidak percaya dengan keputusan diperoleh.

“Tidak sangka dapat semua A kerana pada peperiksaan percubaan, saya hanya memperoleh 3A 2B,” katanya.

myMetro 18 November 2015


‘Ini hadiah buat emak, ayah’ 

SHAH ALAM - “Hanya dengan ilmu, kehidupan seseorang boleh berubah,” demikian kata-kata inspirasi yang dipegang erat murid cemerlang Orang Asli yang memperolehi 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015, Natasya Elyana Li, 12, dari Sekolah Kebangsaan Labohan Dagang, Kuala Langat.

Anak pasangan Li Apeh, 50, dan Jinap Sari, 48, membulatkan tekad belajar bersungguh-sungguh bagi membuktikan lahirnya dalam suku etnik bukan penghalang kejayaan.

“Bagi saya subjek bahasa Inggeris paling susah, jadi saya baca banyak buku bahasa Inggeris. Saya pergi kelas tambahan siang malam, malah ibu juga sediakan jadual belajar,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Bukit Rimau, di sini, semalam.

Jinap, seorang suri rumah dan suaminya Li,  pemandu lori juga sering mengingatkan anak-anak mereka bahawa kesusahan tidak sepatutnya diwarisi dan ia dijadikan kata-kata azimat oleh Natasya untuk maju.

Sementara itu, seorang lagi murid Orang Asli, Norhaizah Rahman, 12, dari Sekolah Kebangsaan Bukit Tadom berkata, keputusan cemerlang yang diperolehi di luar jangkaannya.

“Saya memang tak sangka.Peperiksaan percubaan saya hanya dapat 3A 2B dan hari ini (semalam) saya dapat 5A. Ini hadiah buat emak dan ayah,” katanya.

Seorang murid kelainan upaya (masalah pendengaran), Wan Taufik Hidayat Wan Mokhtar dari Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 yang turut memperolehi 5A pula berkata, dia demam panas pada malam sebelum menduduki UPSR.

“Saya cuma nak cepat jawab kertas soalan sebab tak sihat dan kejayaan ini memang satu kejutan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas prestasi cemerlang ini, Pengarah Pendidikan Selangor, Zainureen Mohd Nor berkata, lokaliti sekolah bukan penentu kejayaan kerana pendidikan wajar diberikan secara sama rata.

“Lihatlah buktinya, jika berusaha sesiapa saja boleh berjaya,” katanya.

Sementara itu, seramai 7,354 calon UPSR Selangor 2015 mendapat semua A, mencatat peningkatan 761 calon berbanding tahun 2014.

Zainureen berkata, gred purata negeri UPSR 2015 bagi negeri Selangor meningkat kepada 2.23 berbanding 2.22 pada tahun sebelumnya.

Zainureen mengumumkan Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong, Daerah Petaling Perdana sebagai sekolah bilangan A terbanyak kategori bandar manakala Sekolah Kebangsaan Tasik Kesuma, Hulu Langat menjuarai kategori luar bandar.

Sinar Harian 18 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment