November 18, 2015

Anak tukang sapu 5A UPSR

Siti Nur Ain yang mendapat 5A UPSR dipeluk ibunya. Foto Aswadi Alias

Hulu Terengganu: Anak tukang sapu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapu, Hulu Terengganu antara murid yang mencatat keputusan 5A yang diumumkan hari ini.

Siti Nur Ain Shafiq Sh Abdul berkata, dia hadiahkan keputusan cemerlang itu kepada ibunya, Siti Nora Din, 35, yang membesarkannya selepas kematian bapanya tiga tahun lalu kerana penyakit tibi.

Menurutnya, dia sedih lihat ibunya memegang penyapu membersihkan sekolah setiap hari.

"Melihat ibu bersusah-payah, ia memberi semangat untuk saya belajar bersungguh-sungguh," katanya yang juga anak sulung dari dua beradik.

Siti Nur Ain adalah antara sembilan murid SK Tapu yang meraih keputusan 5A.

myMetro 17 November 2015


Pilu lihat ibu jadi tukang cuci

PONTIAN - Perasaan sedih setiap kali melihat ibunya yang bekerja sebagai tukang cuci di sekolah sama tempatnya belajar, mendorong Nur Faizatey Azhar belajar bersungguh-sungguh hingga mencapai kejayaan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan, semalam.

Nur Faizatey memperoleh 4A 1B dan muncul pelajar cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Sulaiman yang hanya mempunyai lapan calon UPSR memandangkan sekolah terbabit merupakan sekolah kurang murid di daerah ini.

Anak keempat dari tujuh beradik itu berkata, setiap hari dia melihat ibunya, Puspalela Mohd Basri, 48, menyapu dan membersihkan kawasan sekolah demi mencari rezeki.

Jelasnya, ayahnya, Azhar Hussein, 50, pula bekerja mengambil upah membaiki barang elektrik di rumah di Kampung Parit Sulaiman.

“Saya mahu bantu keluarga dan ikut jejak langkah abang yang belajar di Universiti Malaya (UM).

“Semangat ibu yang bersusah payah membesarkan kami akan saya contohi untuk mengejar cita-cita bergelar pakar sakit puan,” katanya.

Nur Faizatey memberitahu, dia sering mengulang kaji pelajaran bersama rakan selain mengikut kelas tambahan diadakan di sekolah.

“Mungkin sebab calon UPSR hanya lapan orang, kami mudah tumpukan perhatian dalam kelas. Cikgu pun beri perhatian penuh kepada kami,” katanya.

Katanya, dia tidak menyangka mampu memperoleh keputusan itu memandangkan soalan UPSR tahun ini agak mencabar.

“Saya harap dapat belajar di Sekolah Berasrama Penuh,” katanya.

Sementara itu, murid cemerlang, Nur Izzah Mohd Khair yang memperoleh 5A berkata, kejayaannya itu hasil doa kedua ibu bapa yang merupakan guru di SK Sungai Durian.

“Alhamdulillah, saya memang tak sangka. Usaha dan doa yang tak putus membuahkan hasil,” katanya.

Guru Besar SK Parit Sulaiman, Hishaamuddin Md Yusoff berkata, walaupun hanya lapan calon mengambil peperiksaan kali ini, purata kelulusan meningkat dari 46.7 peratus tahun lalu kepada 87.6 peratus.

Jelasnya, usaha berterusan daripada guru dan ibu bapa melalui program kelas tambahan dan motivasi memberi semangat kepada murid.

“Bilangan murid dari prasekolah hingga darjah 6 hanya 86 orang. Guru dan ibu bapa bersama bantu meningkatkan prestasi murid,” katanya.

Sinar Harian 18 Nov 2015



0 comments:

Post a Comment