November 2, 2015

Pemandu maut, seorang koma kereta terjunam

KOTA KINABALU - Seorang pemandu maut manakala dua yang lain cedera selepas kenderaan Proton Saga FL dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam dan terbalik ke dalam longkang besar berhampiran Grace Court, Jalan Coastal di sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Mohd Fadli Shoh, 24, dari Tawau gagal diselamatkan akibat tersepit di bahagian kerusi dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu Asisten Komisioner M.Chandra berkata kemalangan itu telah mengakibatkan mangsa dan dua lagi rakannya terperangkap berikutan keadaan kenderaan terbalik dengan empat tayar di atas.

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca dari kecuaian pemandu yang disyaki mabuk dan gagal mengawal kenderaan dengan baik sehingga terbabas ke kiri jalan," katanya.

Beliau berkata, atas bantuan orang ramai, dua rakan mangsa yang berumur 29 dan 36 tahun itu berjaya diselamatkan dan telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Dua untuk menerima rawatan lanjut, bagaimana pun seorang masih koma. - Bernama

Sinar Harian 2 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment