November 2, 2015

Ibu maut dalam nahas jalan raya

KINABATANGAN - Seorang ibu maut manakala suami dan anak mereka berusia 10 tahun cedera selepas kereta mereka naiki terlibat dalam nahas jalan raya di Kilometer 14 Jalan Tongod-Telupid, semalam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A. Sahak Rahmat berkata mangsa dikenali sebagai Sudiah Utar, 45, manakala suaminya Titi Aniyang, 50, yang memandu kereta dan anak lelaki mereka, Tiburtitus Titi mengalami cedera ringan.

Katanya ketika kejadian 6.05 petang, tiga sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Telupid ke Tongod.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta berkenaan hilang kawalan setelah gagal memotong kenderaan di hadapan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum menjunam ke kawasan curam," katanya dalam kenyataan hari ini.

A. Sahak berkata kenderaan terbabit terhenti pada anak sungai dalam keadaan separuh terbalik dan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

Menurutnya pemandu dan anaknya telah dihantar menerima rawatan ke Klinik Entilibon, Tongod, manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat. -Bernama

Sinar Harian 2 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment