November 12, 2015

Pekerja kapal warga PNG dikesan hilang

SIKOTAI

LIMBANG: Seorang pekerja kapal warganegara Papua New Guinea (PNG) dikesan hilang sejak tiga hari lalu disyaki terjatuh ke sungai berhampiran Pelabuhan Marin di sini Sabtu lalu.

Mangsa, Sikotai Kevin, 30, dilaporkan hilang sekitar jam 8 pagi oleh majikannya selepas mendapati mangsa tidak pulang ke kapal sehingga semalam.

Ketua Bomba Zon Limbang, Bonny Martin berkata pakaian dan dokumen berharga milik mangsa masih ditinggalkan dalam kapal terbabit.

Katanya, laporan mengenai kehilangan mangsa diterima daripada polis jam 9.38 pagi semalam.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan membabitkan enam anggota Bomba termasuk seorang anggota balai, dua anggota Jabatan Pertahanam Awam (JPAM), empat anggota polis dan lima anggota polis marin masing-masing membawa sebuah kemudahan bot,” katanya ditemui semalam.

Bonny berkata, operasi SAR dijalankan diradius kapal dan sekitarnya dengan mengagihkan sektor pencarian.

“Kedudukan kapal sudah dipindahkan pagi semalam oleh polis bagi memudahkan operasi SAR dijalankan kerana dikhuatiri mangsa tersangkut di bawah kapal,” katanya.

Bagaimanapun, sehingga petang semalam mangsa masih belum ditemui.

“Polis menemui petunjuk iaitu pakaian dan dokumen berharga termasuk dompetnya masih tinggal dalam kapal,” jelasnya.

Beliau berkata, sektor pencarian diperluaskan sehingga ke empat sektor petang semalam.

Katanya, cabaran pertama dihadapi anggota adalah baharu menerima laporan semalam menyebabkan tempoh masa pencarian sudah lewat dan sukar diramal sejak mangsa dilaporkan hilang Sabtu lalu.

“Kita susah menjangka kedudukan mangsa ditambah lagi air deras dan paras air naik akibat hujan lebat yang turun setiap petang,” katanya.

Utusan Borneo 11 Nov 2015


0 comments:

Post a Comment