November 12, 2015

Nota terakhir

TRAGIS: Mayat mangsa diusung keluar dari rumahnya untuk dihantar ke HUS.

KUCHING: Meskipun beberapa kali dihalang dalam cubaan membunuh diri, seorang lalaki yang dipercayai tertekan dengan hidupnya nekad menggantung diri di sebuah rumah di Jalan Dogan di sini, semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Siong berusia 42 tahun ditemui tidak lagi bernyawa dengan keadaan lehernya tergantung pada tali di dalam bilik tidur rumah milik keluarganya sekitar jam 2 petang.

Difahamkan, mangsa yang turut meninggalkan nota bersama gambar isterinya memohon agar dia dimaafkan telah gagal dihubungi sejak pagi semalam menyebabkan keluarganya terus memeriksa ke rumah tersebut.

“Sebelum ini beberapa kali dia (mangsa) cuba membunuh diri, termasuk dengan cuba melemaskan diri di dalam kereta, namun berjaya dihalang sehingga hari ini (semalam) apabila dia bertindak menggantung dirinya.

“Dia tinggal seorang diri kerana keluarganya tidak lagi tahan dengan sikapnya dan sejak pagi tadi (semalam), dia tidak dapat dihubungi menyebabkan keluarganya terus ke sini.

“Paling menyedihkan apabila turut ditemui nota yang ditulis oleh dia (mangsa) memohon maaf atas segala kesilapannya dan meminta isterinya dapat menjaga diri serta anak-anak mereka,” kata sumber.

Menurut sumber, mangsa yang dipercayai mengalami masalah mental turut menghidap beberapa jenis penyakit yang mendorongnya menjadi panas baran serta sering bertindak agresif.

Utusan Borneo 8 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment