November 12, 2015

Gua berusia enam juta tahun ditemui di Mulu: KM

KHAZANAH BAHARU: Gambar menunjukkan gua yang baharu ditemui pada 15 Oktober lepas dan merupakan penemuan signifikan serta menjadi khazanah kepada Sarawak.

Penemuan terbaharu oleh peneroka pada 15 Oktober lalu khazanah bertaraf dunia kepada Sarawak

KUCHING: Satu lagi khazanah amat bermakna kepada negeri ini apabila sebuah gua dianggar berusia enam juta tahun ditemui di batu kapur di Mulu.

Gua uniknya dari segi lapisan batu kapur dan tidak pernah dijejak manusia berabad lalu itu telah ditemui peneroka 15 Oktober lalu dan merupakan penemuan terbaharu bertaraf dunia kepada Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang juga pengerusi Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang mengumumkan perkara itu berkata, ia satu berita gembira kepada negeri ini khasnya pelancongan Sarawak.

“Saya mahu menyampaikan satu berita gembira kepada anda semua bahawa, satu gua amat cantik ditemui dalam sistem batu kapur di Mulu.

“Kita sudah ada ‘Deer Cave’, ‘Clear Water Cave’, ‘King’s Chamber’ dan satu lagi tambahan adalah yang ditemui ini dan ia berdekatan dalam sistem batu kapur di Mulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada makan sempena sambutan ulang tahun ke-12 Sarawak Forestry.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Alfred Jabu Numpang dan Pengerusi Sarawak Forestry Datu Yusoff Hanifah di sini, malam kelmarin.

Adenan berkata, gua itu bagaimanapun tidak dapat dinamakan kerana mengikut tradisi di Sarawak, ia akan dinamai sempena nama orang atau peneroka menemuinya sebagai keistimewaan.

“Saya percaya kawasan dalam sistem batu kapur ini masih ada lagi gua belum ditemui dan berharap lebih banyak ditemui pada masa akan datang.

“Penemuan ini satu berita gembira kepada kita dan juga kepada industri pelancongan kita,” tegasnya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif SFC Wong Ting Chung yang ditemui selepas majlis berkata, gua  itu  ditemui peneroka dari United Kingdom, iaitu Andy Eavis yang menamakan gua sebagai ‘Conviction Cave’.

Katanya Eavis telah meneroka kawasan berkenaan sejak tahun 1977 dan menemui gua berkenaan dua minggu lepas.

“Sudah menjadi kebiasaan di seluruh dunia sekalipun bahawa orang yang pertama menemui mana-mana gua diberi keistimewaan menamakannya.

“Uniknya gua ini kerana pembentukan lapisan batu kapurnya juga dapat menentukan usia gua berkenaan yang dianggarkan lebih enam juta tahun dan tidak pernah dijejaki manusia,” katanya sambil memberitahu penduduk peribumi tempatan juga tidak tahu mengenai kewujudannya.

Wong memberitahu setakat ini gua ini  masih belum sesuai untuk dijadikan destinasi ekopelancongan memandangkan laluannya sukar dilalui.

Namun katanya,  apa yang pasti penemuan gua itu amat siginifikan dari sudut saintifik kerana bentuk atau formasi batu kapurnya yang tajam dan menegak selain sebuah lubang lebih 100 meter ketinggian serta sesuai untuk kajian.

“Gua ini tidak pernah disentuh selama lebih enam juta tahun dan ia sebab itu ia merupakan penemuan signifikan khasnya dalam saintifik.

“Bagaimanapun, sekarang ini terpulang kepada saintis dan kerajaan negeri menjalankan kajian sama ada ia boleh dibangunkan sebagai ekopelancongan atau tujuan lain,” katanya.

Beliau memberitahu, jarak gua baharu dari ibu pejabat Taman Negara Mulu dianggar 15 kilometer atau dua jam berjalan kaki diatas laluan berceranggah.

Utusan Borneo 8 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment