November 12, 2015

Bayi ditinggal atas meja

SIHAT: Anggota paramedik dari Hospital Miri sedang memeriksa keadaan bayi di tempat kejadian.

MIRI: Seorang bayi perempuan dipercayai baharu lahir dijumpai ditinggalkan di atas sebuah meja berhampiran dapur sebuah rumah di Lorong 5, Quadruplex Bandar Baru Permyjaya di sini, awal pagi semalam.

Ketika dijumpai, bayi perempuan terbabit masih hidup dan dalam keadaan sihat serta cukup sifat dengan bahagian plasentanya telah dikerat hanya dibalut dengan sehelai kain perca merah dan disimpan di dalam sebuah beg kertas.

Selain itu, masih terdapat kesan darah yang telah kering di bahagian dahi dan di dalam beg kertas berkenaan.

Berdasarkan kesan darah yang sudah kering, bayi berkenaan dipercayai telah dilahirkan beberapa jam sebelum dia ditemui.

Berikutan itu, bayi terbabit telah dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, kewujudan bayi malang itu disedari oleh seorang suri rumah dikenali sebagai Eda Kuda, 56, yang bangun sekitar jam 5 pagi untuk memasak bekalan anak-anaknya bekerja.

“Sejurus bangun, saya terus membuka cermin tingkap dapur dan serentak itu ternampak sebuah beg kertas yang diletak di atas meja luar dalam keadaan bergerak-gerak.

“Dalam hati saya, terdetik siapakah yang menghantar beg itu dan apakah kandungannya,” ujar beliau ketika ditemui di tempat kejadian.

Meskipun takut, Eda memberanikan diri keluar untuk memanggil seorang jiran bagi memaklumkan tentang kewujudan beg kertas itu.

Mereka kemudian menghampiri beg itu sambil memerciknya dengan ‘air kudus’ namun tidak berani melihat kandungannya sebelum masing-masing menyambung semula tugas memasak.

“Ketika sedang memasak, tiba-tiba saya terdengar bunyi rengekan kecil namun menyangka anak kucing sehingga terdengar suara tangisan baharu saya menyedari kandungan beg itu seorang bayi.

“Serentak itu saya lalu menjerit memberitahu ada bayi dan terus mengeluarkannya dari beg berkenaan,” katanya lagi.

Sebaik dikeluarkan, bayi terbabit lalu dibalut dengan tuala dan diberi susu sementara ketibaan polis dan ambulans.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Junaidi Bujang ketika dihubungi mengesahkan kes tersebut dan memberitahu siasatan sedang dijalankan.

Pada masa sama, beliau turut mengesahkan bahawa pihak polis telah menahan seorang wanita untuk membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Namun demikian, katanya, belum dapat dipastikan sama ada wanita terbabit merupakan ibu kandung kepada bayi berkenaan atau sebaliknya.

Utusan Borneo 4 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment