November 21, 2015

Lesap bersama anak dipercayai didera

Siasatan kakitangan JKM mendapati kediaman ibu tunggal berkenaan tidak terurus dan kotor selain kesemua anaknya tidak bersekolah.

JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal bertindak agresif termasuk mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru yang datang untuk menyelamatkan anaknya yang dipercayai didera.

Pegawai JKM Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, hasil maklumat diterima, pihaknya ke kediaman wanita berkenaan di Taman Cendana, Pasir Gudang untuk menyelamatkan empat anaknya yang berumur lapan hingga 14 tahun.

Menurutnya, kakitangan JKM sempat bertemu anak bongsu wanita itu dan mendapati terdapat kesan lebam pada kaki mangsa.

“Kita telah menerima aduan daripada jirannya memaklumkan ibu tunggal berumur 40-an itu sering memukul anaknya. Bertindak daripada maklumat berkenaan, JKM telah pergi ke rumahnya untuk menjalankan siasatan.

“Selepas menyedari kehadiran kakitangan JKM, wanita itu ‘naik angin’ malah bertindak memaki hamun JKM selain tidak mengaku mendera anaknya. Dia mendakwa tertekan dengan masalah dihadapi selepas ditinggalkan suami.

“Ibu tunggal terbabit turut menyalahkan jirannya kononnya membuat laporan mengenai kes dera berkenaan tanpa usul periksa,” katanya semalam.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan di kediaman wanita itu, didapati rumah berkenaan tidak terurus dan kotor malah kesemua anaknya tidak pergi ke sekolah.

Manayi berkata, anak sulungnya yang sepatutnya berada di tingkatan dua telah dibuang sekolah kerana masalah kehadiran.

Bagaimanapun, anak keduanya yang turut mempunyai masalah kehadiran dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atas budi bicara pihak sekolah.

“Disebabkan faktor keselamatan, kami datang kembali ke kediaman ibu tunggal berkenaan diiringi pihak polis bagi menyelamatkan anak-anaknya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Bagaimanapun dia telah meninggalkan kediaman terbabit bersama kesemua anaknya, kita percaya wanita itu bertindak melarikan diri. Kes penderaan ini masih dalam perhatian JKM dan tindakan susulan akan tetap diambil,” katanya.

Sinar Harian 19 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment