November 21, 2015

Bekas pelajar tahfiz maut

Keadaan motosikal mangsa setelah terlanggar kereta di Jalan Tambak Bugis, Telok Emas di sini, petang kelmarin. Gambar kecil: Ahmad Khusairi

MELAKA TENGAH - Seorang bekas pelajar tahfiz maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Tambak Bugis, Telok Emas di sini, lebih kurang jam 6.40 petang kelmarin.

Mangsa, Ahmad Khusairi Suhaimi, 16, dari Kampung Ketapang, Pernu menunggang motosikal bersama rakannya dari arah Telok Emas menuju ke arah Bukit Lintang.

Sumber polis memaklumkan, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa terlanggar tepi pintu sebelah kanan sebuah kereta yang mahu membelok ke kanan dipandu seorang wanita berusia 36 tahun.

“Akibatnya mangsa tercampak ke dalam longkang manakala sebuah lagi motosikal dinaiki dua remaja lain berusia 15 dan 18 tahun yang mengekori di belakang sempat membrek, namun terbabas ke tepi jalan.

"Berikutan kejadian itu, mangsa maut di tempat kejadian manakala dua lagi remaja hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Suhaimi Othman, 52, berkata, kali terakhir dia melihat anaknya ketika mangsa keluar dari rumah selepas menunaikan solat Zohor.

“Memang dia ada beritahu mahu keluar sebentar ke rumah jiran berhampiran tetapi tak sangka dia kemudiannya menunggang motosikal bersama rakan lain hingga terlibat dalam kemalangan itu.

"Allahyarham adalah anak bongsu daripada lima adik beradik dan tak bersekolah. Sebelum ini kami ada menghantarnya untuk mengikuti pengajian tahfiz al-Quran di Indonesia namun disebabkan dia kurang sihat, kami terpaksa membawanya pulang,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 20 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment