November 21, 2015

Merangkak selamatkan anak, isteri

Kereta Mahadi juga rosak teruk dihempap pokok tumbang.

GUA MUSANG - “Kami mengucap panjang apabila tiba-tiba rumah ditimpa pokok tumbang,” kata Mahadi Muhamad, 40, apabila rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar, dekat sini, ranap ditimpa pokok kertas tumbang, tengah hari kelmarin.

Menurutnya, kejadian itu berlaku jam 12 tengah hari ketika dia lima beranak termasuk bayi perempuan yang baru berusia sebulan berada dalam rumah.

Katanya, tiba-tiba bunyi dentuman kuat sebelum pokok sebesar pemeluk tumbang menyebabkan atap rumahnya runtuh dan keadaan ketika itu kelam-kabut.

“Perkara paling saya bimbang ketika itu, isteri dan bayi yang baru lahir menyebabkan saya merangkak menyelamatkan mereka bersama dua lagi anak,” katanya.

Menurutnya, selain rumah ranap, sebuah kereta miliknya yang diparkir bawah pokok berkenaan juga rosak teruk.

Katanya, dia tidak sangka pokok berusia lebih 10 tahun di tepi rumah tumbang tiba-tiba.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana semua selamat berikutan dahan pokok kayu tumbang di tengah-tengah rumah manakala isteri dan bayi berada tidak jauh dari situ.

“Kami lihat dahan kayu menembusi bumbung dan memang rumah itu tidak mampu lagi dibaiki semula kerana terlalu teruk,” katanya.

Katanya, buat sementara ini dia sekeluarga menumpang di rumah ibu bapa di rancangan tanah berkenaan.

Mahadi turut mengucapkan terima kasih kepada Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah dan Naib Ketua Pemuda Umno bahagian, Mohd Fadzly Mohd Daud yang memberi perhatian segera.

Sinar Harian 21 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment