November 9, 2015

Korban Air Terjun Chamang

Anggota bomba dan orang ramai mengangkat mayat mangsa. FOTO ihsan bomba

Bentong: Lelaki berusia 21 tahun ditemui lemas selepas dibawa arus deras ketika mandi di kawasan Air Terjun Chamang, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa, Ismat Afiq Ishak dari Kampung Delek Kanan, Klang, Selangor dilihat terkapai-kapai sebelum tenggelam.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohamad Nor berkata, mangsa sebelum itu tiba di kawasan air terjun berkenaan bersama 11 lagi rakannya dengan menaiki van kira-kira 10 pagi.

Difahamkan, ketika mandi, mangsa dan dua lagi rakannya dibawa arus deras namun rakannya itu berjaya diselamatkan manakala mangsa terus hilang dibawa arus deras.

"Rakan mangsa yang lain cuba mencari mangsa namun gagal sebelum menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

"Polis dengan dibantu anggota bomba melakukan gerakan mencari mangsa dan menemui mayatnya di dasar air terjun kira-kira 20 meter daripada tempat dia dilaporkan hilang," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasata sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

myMetro 8 November 2015

0 comments:

Post a Comment