November 12, 2015

Kerajaan berusaha bantu Jabing yang berdepan hukuman mati

KUCHING: Kerajaan negeri cuba melakukan yang terbaik bagi membantu Kho Jabing yang kini berdepan hukuman mati di Singapura kerana membunuh warga China, Cao Ruyin pada 2007.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semalam, bagi membincangkan apa yang kerajaan negeri mampu lakukan untuk membantu Jabing.

Menurut Nancy, sebelum ini kerajaan persekutuan telah melakukan usaha terbaik dan kini terpulang kepada kerajaan negeri membantu Kho Jabing.

“Kerajaan persekutuan telah melakukan yang terbaik dengan semua saluran namun sehingga kini ia terpulang kepada kita di kerajaan negeri melakukan yang terbaik kepada rakyat Sarawak itu.

“Sehubungan itu saya mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri untuk melihat apa yang kita mampu lakukan bagi membantunya dan sebagai rakyat Sarawak sudah pasti kita cuba yang terbaik dengan semampu yang kita boleh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Sedidik Zon Kuching-Samaraha-Sri Aman Ke-24 2015 di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai susulan penangguhan pelaksanaan hukuman gantung Jabing dan ahli keluarganya akan datang ke Kuala Lumpur hari ini, sebagai usaha terakhir mendapatkan sokongan daripada wakil rakyat supaya meneliti kesnya dan merayu diringankan hukuman.

Kes berkenaan mendapat liputan terutama media sosial dan Kho Jabing, 31, yang dijatuhkan hukuman gantung bagaimanapun ditangguhkan Mahkamah Rayuan Singapura baru-baru ini iaitu kurang 24 jam sebelum dia dijadualkan menjalani hukuman berkenaan di Penjara Changi.

Keluarga Kho Jabing, iaitu adiknya Jumai serta ibunya Lenduk pula berusaha mendapatkan bantuan dan dijangka tiba di Kuala Lumpur hari ini bertemu wakil rakyat Sarawak.

Mahkamah Tinggi Singapura mengkaji semula kes Kho Jabing dan memutuskan dia dipenjara seumur hidup dan dikenakan 24 sebatan pada 2014, tetapi kelegaan keluarganya tidak kekal lama selepas hukuman mati dikenakan semula Mahkamah Rayuan.

Presiden Singapura Tony Tan kemudian menolak rayuan pengampunannya pada 19 Oktober.

Keputusan Mahkamah Rayuan pada Khamis lepas menjadi satu kejutan kepada ramai aktivis hak asasi, yang mengatakan ia tidak pernah berlaku dalam sejarah Singapura di mana pelaksanaan hukuman gantung ditangguhkan pada saat akhir.

Utusan Borneo 11 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment