November 18, 2015

Kekurangan diri bukan penghalang Zikrillah

Zikrillah (duduk di kerusi roda) meraikan kejayaannya bersama ibu Anne Suhaidi dan rakan-rakannya selepas mendapat slip keputusan peperiksaan, semalam.

KOTA BHARU -  Kekurangan diri tidak menjadi penghalang kepada pelajar orang kurang upaya (OKU), Zikrillah Zairul Akma, 12,  yang bukan sahaja mengalami masalah pembelajaran (slow leaner) malah terpaksa menggunakan kerusi roda akibat masalah tulang, yang mencapai keputusan cemerlang 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu yang mengalami masalah di bahagian kedua-dua tulang pahanya itu yang semakin hari semakin membengkok terpaksa menggunakan kerusi roda sejak setahun lalu, malah dia juga diberi sepenuh perhatian oleh guru ekoran masalahnya itu.

“Walaupun kehidupan saya tidak seperti orang lain, namun saya ingin mencapai cita-cita sebagai seorang tukang masak terkenal (chef) suatu hari nanti.

“Oleh itu saya tanamkan azam untuk terus mencapai kejayaan dalam peperiksaan UPSR dan alhamdulillah saya memperoleh 3A 2B,” katanya.

Meskipun pergerakannya terbatas, namun itu tidak pernah meletakkan masalah itu sebagai alasan malah terus berusaha belajar walaupun keadaan fizikal dan pergerakannya terhad.

“Kedua-dua ibu bapa termasuk rakan-rakan dan gurulah sering menjadi pendorong untuk belajar dan  berjaya.

“Mereka banyak membantu dan insya-ALLAH saya berhasrat untuk menyambung pelajar ke peringkat Sekolah Tahfiz bagi mendalami ilmu agama dan al-Quran,” katanya.

Sinar Harian 18 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment