November 18, 2015

Bekas tentera dijel 20 tahun

Kota Bharu: Seorang bekas tentera berpangkat Sarjan dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Che Rosli Che Daud, 31, yang mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pilihan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Mohd Yusrizal Mat Zain, 34, dengan niat hendak menyebabkan sesuatu bencana tubuh menyebabkan kematian di hadapan sebuah rumah di Perumahan JPN Kok Seraya, Chabang Empat, Tumpat antara 10 hingga 11 pagi, 11 Ogos 2013.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang kerani maut selepas terkena letupan bom buatan sendiri yang diletakkan di atas sebuah kenderaan pelbagai guna dalam kejadian di Perumahan JPN Kok Seraya,Chabang Empat, Tumpat, dua tahun lalu.

myMetro 18 November 2015


Sarjan terlepas hukuman gantung

KOTA BHARU – Seorang bekas sarjan tentera yang cemburu kerana isterinya menjalin hubungan sulit dengan seorang anggota polis dipenjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas kesalahan menyebabkan kematian seorang kerani dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut kepada Che Rosli Che Daud, 31, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan yang ditawarkan.

“Setelah meneliti keterangan daripada pihak pendakwa raya, hujahan peguam bela dan kete­rangan impak daripada keluarga mangsa, mahkamah mendapati tertuduh disabitkan dengan kesalahan.

“Namun, tertuduh bernasib baik apabila seksyen (Seksyen 302 Kanun Keseksaan) dipinda kepada 304 Kanun Keseksaan. Perbuatan berani tertuduh tanpa mengira risiko sehingga menga­kibatkan kematian mangsa dalam kes ini begitu tragis sekali di hadapan keluarga lebih-lebih lagi pada bulan Syawal,” kata Azman dalam penghakimannya sebelum menjatuhkan hukuman.

Che Rosli didakwa telah menyebabkan kematian Mohd. Yusrizal Mat Zain, 34, di hadapan sebuah rumah di alamat Lot 127, Blok N, Perumahan JPN Kok Seraya Chabang Empat, Tum­pat antara pukul 10 hingga 11 pagi, 11 Ogos 2013.

Sebelum ini, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori sebelum dipinda kepada Seksyen 304(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kosmo 19 Nov 2015
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Maut Bila Bungkusan Diambil Meletup Di Tumpat



0 comments:

Post a Comment