November 18, 2015

‘5A hadiah untuk arwah ibu’

Norhasimah (dua, kanan) merakamkan tahniah kepada Haris (kiri), Alif (dua, kiri) dan Zakirah (kanan) yang merupakan antara 17 daripada 46 calon UPSR sekolah terbabit yang meraih keputusan cemerlang 5A UPSR.

RAUB - Latar belakang keluarga bukan penentu kejayaan seseorang. Buktinya, tiga murid dari Sekolah Kebangsaan Bandar Raub yang masing-masing datang dari keluarga sederhana membuktikan mereka juga boleh berjaya.

Bagi Muhammad Alif Haikal Rosli, 12, kejayaan 5A yang diperolehnya merupakan bukti anak seorang bekas pengawal juga boleh cemerlang.

Alif juga berkata, kejayaannya itu juga sebagai satu bentuk penghargaan buat arwah ibunya yang suatu ketika dahulu pernah mengajar di sekolah terbabit.

“Ibu saya meninggal dunia pada 2005 akibat penyakit tiroid. Ketika itu saya baru berusia 2 tahun,” katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu juga berkata, ayahnya kini membuka sebuah kedai makan di daerah ini setelah pencen dari menjadi seorang pengawal keselamatan.

“Saya ingin jadi doktor pakar bedah dan saya harap mampu capai cita-cita ini supaya dapat bantu keluarga,” katanya.

Bagi seorang anak tukang sapu yang turut cemerlang dalam UPSR, Muhd Haris Rozeman, 12, pula, dia tekad untuk cemerlang kerana mahu mengubah nasib keluarga.

“Saya mahu jadi seorang pensyarah yang akan mengajar di luar negara. Saya mahu membantu ibu yang bekerja sebagai tukang sapu manakala ayah berniaga di pasar malam.

“Saya harap akan terus cemerlang dan mencapai cita-cita supaya ibu tidak perlu lagi jadi tukang sapu dan keluarga dapat hidup senang,” katanya.

Seorang lagi murid yang merupakan anak pembantu perpustakaan, Norisma Zakirah Abdul Jamal, 12, berkata, rahsia kejayaannya ialah sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT selain sentiasa mendengar kata guru.

“Saya tak sangka sebab saya dapat 3A sahaja masa percubaan. Saya mewakili pelajar sekolah ini merakamkan setinggi penghargaan buat semua guru yang telah mendidik kami.

“Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi melihat kami cemerlang. Begitu juga dengan ibu bapa yang banyak membantu kami,” katanya.

Dalam pada itu, guru besar, Norhasimah Mohamed berkata, sekolah terbabit menunjukkan peningkatan lebih tinggi berbanding tahun lalu.

“Kami berjaya mengulangi kembali kecemerlangan kami pada 2012 yang mana tahun ini peratus kecemerlangan adalah sebanyak 36.9 peratus.

“Kami bukanlah sekolah yang menjadi pilihan, dengan kecemerlangan yang diperoleh diharap dapat mengubah persepsi masyarakat di sekolah kami tambahan pula dua tahun lalu kami baharu sahaja dinobatkan sebagai sekolah kluster,” katanya.

Beliau dalam pada itu juga terkejut apabila dimaklumkan sebagai antara 10 sekolah cemerlang UPSR negeri bagi tahun ini.

“Ia adalah satu pencapaian membanggakan,” katanya.

Sinar Harian 18 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment