November 21, 2015

Empat mati lemas angkara selipar

DI Tasik Ara Damansara, Jalan PJU 1A/1, Ara Damansara inilah lokasi empat sahabat ditemui lemas semalam.

PETALING JAYA – Gara-gara selipar yang terjatuh ke dalam tasik, empat remaja termasuk seorang remaja perempuan mati lemas di Tasik Ara Damansara di Jalan PJU 1A/1 Ara Damansara di sini semalam.

Mangsa-mangsa yang mati lemas ialah Mohd. Fikry Mohamad Ady, 14, Norasyikin Jamil, 12, Hafiz Hakimi, 14, Raja Iskandar Shah, 13. Kejadian pada pukul 5 petang itu dipercayai berpunca daripada selipar salah seorang remaja itu terjatuh ke dalam tasik itu.

Remaja yang kehilangan seliparnya, dikatakan cuba mengambil seliparnya namun dia terjatuh menyebabkan rakan-rakannya cuba membantu namun kesemuanya turut lemas.

Mayat pertama yang ditemui ialah Mohd. Fikry pada pukul 5.15 petang diikuti mayat Norasyikin pukul 6.05 petang, mayat Hafiz seminit kemudian dan mayat terakhir Raja Iskandar Shah ditemui pukul 6.08 petang.

Mayat Mohd. Fikry ditemui orang awam manakala tiga lagi mayat ditemui bomba dan penyelamat. Keempat-empat remaja itu disahkan mati lemas di dalam tasik oleh pasukan perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kosmo 21 Nov 2015


Tragedi cuba ambil selipar

Petaling Jaya: "Saya turut terjun untuk menyelamatkan abang tetapi gagal dan lemas sebelum diselamatkan," kata Mohd Huzain Mohamad Ady, 11, yang terselamat dalam kejadian lemas membabitkan empat mangsa termasuk abangnya di Tasik Ara Damansara, Kelana Jaya, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, Mohammad Huzain diselamatkan oleh dua pengawal keselamatan yang berada berhampiran tempat kejadian, manakala abangnya, Mohd Fikry, 14, bersama tiga rakannya, Hafiz Hakimi, 14, Raja Iskandar Shah,13 dan Norasyikin Jamil, 12, lemas.

Mayat Mohd Fikry ditemui pada 5.17 petang, diikuti mayat Norasyikin pada 6.05 petang, Hafiz (6.06 petang) dan Raja Iskandar (6.08 petang).

Menurut Mohd Huzain, abangnya pada mulanya cuba mengambil selipar Norasyikin yang terjatuh ke dalam tasik ketika bermain di tepi tebing.

Katanya, abangnya tergelincir ke dalam tasik sebelum cuba diselamatkan tiga rakannya.

“Tiga rakan abang terjun ke dalam tasik untuk membantu sebelum saya turut terjun, tetapi kami lemas.

"Dua pengawal keselamatan yang membantu hanya sempat menyelamatkan saya," katanya.

Ibu dua beradik itu, Laila Warmon, 50-an ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, Mohd Fikry menolak pelawaannya untuk pergi ke Pusat Zakat dan membantunya menyimpan barang niaga di rumah mereka.

"Arwah menolak perlawaan saya untuk ke Pusat Zakat sebelum membantu mengemas barangan jualan makanan ringan dengan rapi.

"Saya hairan dengan tindakannya tetapi tidak mengesyaki apa-apa sebelum memberikan dia wang untuk membeli kad prabayar," katanya.

Menurutnya, sebaik menerima wang berkenaan, anaknya terus keluar rumah bersama Mohd Huzain.

myMetro 21 November 2015


Empat sahabat selamat dikebumikan 

Tiga daripada empat sahabat yang lemas semalam dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9 Kota Damansara, petang tadi. FOTO Amir Abdul Hamid

Petaling Jaya: Jenazah empat sahabat yang lemas di Tasik Ara Damansara, di sini, semalam, selamat dikebumikan, petang tadi.

Jenazah Mohd Fikry Mohamad Ady, 14, Hafiz Hakimi Jasaburi, 14 dan Norasyikin Jamil, 12, dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9 Kota Damansara, di sini, manakala jenazah Raja Iskandar Shah Raja Shukri Amrun, 13, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gatal, Sungai Besar, Sabak Bernam.

Terdahulu, semua jenazah tiba di Masjid Ara Damansara untuk dimandi dan disolatkan selepas selesai bedah siasat di Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sementara itu, pengurus jenazah Hafizah Mohd Yatim berkata, semua kos urusan pengebumian ditanggung sepenuhnya pihak Masjid Ara Damansara menerusi sumbangan penyelaras wakil rakyat.

Menurutnya, lebih 300 masyarakat setempat turut hadir bagi memberikan sokongan terutamanya kepada waris empat mangsa lemas itu yang berhadapan dugaan berat dan saat menyedihkan.

Dalam kejadian 4.45 petang semalam, empat sahabat itu lemas di tasik berkenaan manakala seorang lagi iaitu adik Mohd Fikry, Mohd Huzain berjaya diselamatkan.

Mohd Huzain berkata, abangnya cuba mengambil selipar Norasyikin yang terjatuh ke dalam tasik itu tetapi lemas sebelum cuba diselamatkan tiga lagi rakannya dan berakhir dengan keempat-empatnya lemas.

Mohd Huzai turut terjun ke dalam tasik itu untuk menyelamatkan abangnya dan turut lemas sebelum diselamatkan dua pengawal keselamatan.

myMetro 21 November 2015


Sayu angkat jasad lembik

Petaling Jaya: “Ketika menyelam saya nampak tubuh budak di dasar tasik lalu mencapai tangannya dan bawa ke atas sebelum ditarik ke darat dengan bantuan orang ramai,” kata Abdullah Ahmad, 43.

Dia yang juga penduduk flat Taman Putra Damai Lembah Subang antara orang awam yang membantu menyelam mencari empat mangsa lemas di Tasik Ara Damansara, kelmarin.

Abdullah menemui mayat tunggal perempuan dalam kejadian iaitu Norasyikin Jamil, 12, jam 6.21 petang selepas menemui baju beberapa minit sebelum itu di lokasi sama.

Dia berkata, walaupun tasik itu keruh selain dipenuhi sampah termasuk rangka motosikal, namun Allah mempermudahkan pencarian mangsa

“Tasik itu keruh dan penuh sampah dan kami beranggapan pasti sukar mencari mereka, tetapi semuanya dipermudahkan Allah,” katanya.

myMetro 22 November 2015




0 comments:

Post a Comment