November 21, 2015

Cita-cita terkubur akibat kencing tikus

MUHAMMAD Rahimi

Kuala Pilah: “Arwah bercita-cita tinggi untuk bergelar juruteknik dan mahu menyambung pengajian di peringkat tertinggi.

“Sepatutnya dia menerima sijil pada Majlis Graduasi Selasa lalu, tetapi impiannya tidak kesampaian,” kata Raudah Dian, 41, ibu kepada pelajar Kolej Vokasional Juasseh, Allahyarham Muhammad Rahimi Rosli, 18, yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, semalam, akibat jangkitan Leptospirosis atau kencing tikus.

Raudah berkata, anak sulung daripada empat beradik itu berkunjung ke Hutan Rekreasi Ulu Bendul, di sini, pada 1 November lalu untuk mandi kolam bersama dua rakannya, Mohd Khairil Ikhwan Baharom dan Noor Johan Izwan Mohd Rani, kedua-duanya 18 tahun.

“Selepas pulang beriadah, arwah demam dan sakit sendi menyebabkannya pulang ke rumah di Rumah Rakyat Juasseh.

“Namun, apabila dirawat di klinik berhampiran, doktor memberitahu anak saya hanya demam biasa,” katanya.

Menurutnya, tahap kesihatan anaknya membimbangkan pada Ahad lalu menyebabkannya dibawa ke HTAN untuk rawatan lanjut.

“Semasa dirawat di hospital, Muhammad Rahimi koma. Dia perlu hadir ke kolej pada Selasa lalu bagi menerima Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dalam Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan.

“Namun impian menggenggam sijil dan menyambung pengajian diploma terhenti apabila disahkan meninggal dunia jam 8.18 pagi tadi (semalam),” katanya.

myMetro 21 November 2015



0 comments:

Post a Comment