November 21, 2015

Anak mati, bapa cedera ditembak

KAJANG – Seorang kanak-kanak perempuan maut manakala bapanya dilaporkan kritikal dalam satu kejadian tembakan di hadapan kedai menjual bunga di pekan Semenyih di sini pukul 10 malam kelmarin.

Si mati yang hanya dikenali sebagai Nisha Ann, berusia dua tahun enam bulan merupakan anak sulung daripada dua beradik itu maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Kajang akibat cedera pada kepala.

Semasa terkena tembakan, mangsa sedang didukung oleh bapanya dan kejadian tersebut berlaku di depan kedai bapa mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, siasatan awal percaya beberapa das tembakan yang dilepaskan suspek disasarkan kepada bapa kanak-kanak itu.

“Pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian daripada seorang lelaki yang menghubung polis. Semasa kejadian, dinyatakan dua mangsa cedera tetapi maklumat lanjut siapa penembak dan bagaimana ia berlaku masih dalam siasatan,” kata beliau.

Kosmo 21 Nov 2015


Lelaki parah ada kaitan kongsi gelap

LAPORAN Harian Metro 21 November lalu.

Kajang: Lelaki yang parah ditembak berhampiran Jalan Besar, Pekan Semenyih, di sini, Jumaat lalu, dipercayai ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, pihaknya masih belum mengambil keterangan mangsa, S Ravinchandran, 40-an, berikutan keadaannya yang belum stabil.

Menurutnya, mangsa masih dirawat di Hospital Kajang dan dalam keadaan tidak stabil berikutan kecederaan parah.

“Siasatan awal mendapati, ada kemungkinan mangsa terbabit dalam kegiatan kongsi gelap di daerah ini,” katanya di sini, semalam.

myMetro 24 November 2015



0 comments:

Post a Comment