October 30, 2015

Budak derita ketumbuhan di kepala

Mumtaz (kiri) melawat Muhammad Aqiff Ashraf di kediamannya di Kampung Sungai Peria, dekat Kuala Krai, semalam.

KUALA KRAI - Sepasang suami isteri hanya mampu mendengar bacaan surah al Fatihah sebanyak tiga kali sebelum anaknya terlantar sejak 6 Oktober lalu di kediamannya di Kampung Sungai Peria, dekat sini, akibat ketumbuhan suprasellar tumor, crniopharyngioma di kepalanya.

Noree Hussin, 28, berkata, sejak itu, anaknya, Muhammad Aqiff Ashraf Ismail, 5, tidak dapat bercakap dan hanya bergantung sepenuhnya kepada susu dibekalkan hospital.

Menurutnya, anaknya mula hilang selera makan sejak Ramadan lalu, dan berat badannya mulai susut.

“Kami bawa Muhammad Aqiff Ashraf ke Unit Kecemasan Hospital Kuala Krai pada 6 Oktober, kerana bimbang tahap kesihatannya.

“Keputusan ujian darahnya normal. Bagaimanapun, terdapat ketumbuhan di kepalanya dan dia terpaksa ditahan di wad selama sehari sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata Noree, semasa di HUSM doktor melakukan imbasan MRI dan mendapati saiz ketumbuhan di kepala anaknya agak besar dan peluangnya untuk hidup hanya 60/40.

Menurutnya, setelah tiga hari di HUSM, dia dan suami, Ismail Muhammad, 32, memohon untuk membawa anaknya pulang.

“Semakin hari badannya semakin susut, dia juga kerap kejang. Kini suami dah tak bekerja sejak 31 Ogos lalu, kerana menjaga Muhammad Aqiff Ashraf,” katanya.

Biarpun Muhammad Aqiff Ahsraf hanya terlantar dengan keadaan berat yang semakin susut dan tidak mampu berbicara seperti mana sebelum ini, pasangan bekenaan masih berharap anaknya berpeluang untuk menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal walaupun peluang itu sangat tipis.

Ismail berkata, doktor memaklumkan jika anaknya dibedah dan pembedahan itu berjaya, kemungkinan beberapa organnya termasuk hati akan rosak.

“Saya hanya mampu berserah ke hadrat Ilahi” katanya.

Penderitaan dilalui pasangan suami isteri itu sampai ke pengetahuan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Kelantan, Mumtaz Md Nawi yang menziarahi keluarga berkenaan, semalam.

Mumtaz menitipkan kata semangat dan menyarankan ibu bapa Muhammad Aqiff Ashraf supaya turut menggunakan pendekatan agama untuk merawat anaknya.

Beliau turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang ada kepakaran sama ada perubatan alternatif atau moden supaya turut tampil membantu merawat Muhammad Aqiff Ashraf.

“Saya simpati melihat keadaan Muhammad Aqiff Ashraf dan hanya dapat membantu apa yang termampu untuk keluarga ini.

“Walaupun sakit tetapi semangat kanak-kanak ini kuat,” katanya yang turut menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Kuala Krai, Zulbahri Ibrahim yang mengetahui perkara itu Rabu lalu, segera menghantar kakitangan ke rumah Noree.

Menurutnya, bantuan menerusi Tabung Segera berjumlah RM300 turut diberikan, selain kelulusan segera bantuan bulanan RM300 untuk Disember, tetapi bayaran dibuat pada November untuk kanak-kanak berkenaan.

“Kita segera dapatkan maklumat keluarga sebaik mendapat berita Rabu lalu. Kita akan turut melihat skim lain yang dapat membantu mereka selepas ini,” katanya ketika melawat keluarga berkenaan, semalam.

Turut serta melawat keluarga ini Ketua Penerangan Pemuda Pas Negeri Kelantan, Nazman Che Iberqhim; Penghulu Wanita Parlimen Kuala Krai, Hazura Hamezah; Wakil Penolong Ketua Jajahan Pembangunan Fizikal,Zairi Abdullah dan kepimpinan setempat.

Sinar Harian 30 Oktober 2015


Aqiff panggil ‘ma’ sebelum meninggal

KUALA KRAI - Setelah terlantar sejak 6 Oktober lalu akibat menghidap ketumbuhan suprasellar tumor, crniopharyngioma di kepala, Muhammad Aqiff Ashraf Ismail, 5, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4.20 pagi semalam, di kediamannya di Kampung Sungai Peria, dekat sini.

Sebelum itu, Muhammad Aqiff yang bercita-cita menjadi ustaz ada memanggil ibunya walaupun telah beberapa hari tidak dapat bercakap.

“Ma..ma..ma, panggilan arwah sebelum meninggal, saya dan suami reda dengan pemergian Aqiff,” kata Noree Hussin, 28, yang tidak tidur semalaman sehinggalah arwah menghembuskan nafas terakhir.

Noree yang bakal menimang cahaya mata kedua itu memberitahu, jenazah Muhammad Aqiff dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Peria Baru, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah dan kepimpinan Pas Kawasan Kuala Krai turut menziarahi jenazah Allahyarham.

Semalam Sinar Harian melaporkan kisah penderitaan Muhammad Aqiff yang terlantar dan tidak berselera makan sehingga menyebabkan berat badannya mulai susut.

Bimbang melihat keadaan Muhammad Aqiff, Noree dan suami, Ismail Mohamad, 32, membawa anaknya ke Hospital Kuala Krai (HKK) pada 6 Oktober lalu.

Ketika dibawa ke HKK, ujian darah dilakukan bagaimanapun mendapati darahnya normal.

Kemudian kepala kanak-kanak ini discan dan didapati ada ketumbuhan menyebabkan arwah terpaksa ditahan di wad selama sehari sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Semasa di HUSM doktor melakukan scan MRI dan mendapati saiz ketumbuhan di kepala Muhammad Aqiff bersaiz 6x5 dan peluangnya untuk hidup 60/40.

Setelah tiga hari di HUSM, pasangan suami isteri ini memohon untuk membawa anaknya pulang.

Sinar Harian 31 Okt 2015

0 comments:

Post a Comment