October 30, 2015

Kanak-kanak maut dalam tangki najis

Muhammad Indra

KOTA TINGGI – Seorang kanak-kanak lelaki tidak sempat meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ketiga pada 4 November ini selepas ditemui tidak bernyawa dipercayai terjatuh ke dalam tangki najis di belakang rumah datuknya di Felda Simpang Waha dekat sini petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, mangsa, Muhammad Indra Hakimi Jalaludin ditemui kira-kira pukul 4 petang dan disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Waha di sini.

Menurutnya, kejadian itu disedari ibu bapa kanak-kanak tersebut yang mendapati anaknya tiada di dalam rumah.

“Pengadu (ibu kepada kanak-kanak berkenaan) dan suaminya telah keluar mencari budak terbabit di belakang rumah dan mendapati tangki najis di belakang rumah dalam keadaan terbuka. Pasangan terbabit kemudiannya meraba-raba ke dalam tangki najis itu sebelum mendapati anak mereka di dalam tangki berkenaan.

Kosmo 30 Okt 2015


Budak 2 tahun lemas dalam pembetung

Jenazah Muhammad Indra dituntut keluarganya. FOTO Ahmad Othman

Kota Tinggi: Budak lelaki berusia dua tahun ditemui lemas dalam pembetung kumbahan di belakang rumah datuknya di Felda Simpang Waha, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, Muhammad Indra Hakimi Jalaludin dipercayai terjatuh ke dalam pembetung itu kira-kira 4 petang.

Katanya, kehilangan kanak-kanak itu disedari ibu bapa mangsa yang mendapati dia tiada di dalam rumah.

"Ketika ibu bapa kanak-kanak itu mencari di belakang rumah, mereka mendapati lubang pembetung najis yang berada di luar rumah terbuka.

"Curiga sesuatu menimpa mangsa, pasangan terbabit meraba lubang itu dan menemui anak mereka," katanya.

Menurut Rahmat, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Waha dan disahkan meninggal dunia sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

Hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati punca kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan lemas dan tiada elemen unsur jenayah.

myMetro 29 Oktober 2015

0 comments:

Post a Comment