November 9, 2015

Abang berhutang, adik jadi mangsa

HALAMAN rumah mangsa mempunyai kesan letupan dipercayai molotov cocktail yang dibaling oleh ah long di Taman Tasik Permai, Miri kelmarin.

SIBU – Gara-gara abang berhutang dengan ah long dan menghilangkan diri, rumah adiknya yang berusia 30-an di Taman Tasik Permai di sini menjadi sasaran apabila dua kali dibaling bom buatan sendiri jenis molotov cocktail pada Jumaat dan kelmarin.

Dalam kejadian kedua pukul 4 pagi kelmarin, wanita yang juga ibu kepada dua anak itu terkejut daripada tidur selepas mendengar bunyi letupan kuat di luar rumah.

Menurut sumber, akibat letupan molotov cocktail itu, separuh daripada halaman rumahnya terbakar, namun tindakan pantas wanita berkenaan memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api berjaya mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Kejadian pertama berlaku pada pukul 7 pagi Jumaat, namun hanya kasut yang diletakkan di luar rumah sahaja terbakar.

“Mangsa percaya kedua-dua kejadian berpunca daripada hutang abangnya berjumlah RM60,000 daripada sekumpulan ah long,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo 9 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment