November 9, 2015

Terjun tak timbul

AMIR menunjukkan lokasi dua kanak-kanak lemas ketika mandi di kolam buatan.

Kangar: “Saya langsung tidak menyangka tubuh yang diselaputi lumpur yang dipegang sebenarnya mayat sepupu sendiri.”

Begitu kata remaja lelaki, Amir Farhan Safar, 16, bersama rakannya, Mohd Badlishah Abdullah, 18 membawa naik dua mayat kanak-kanak berusia tujuh tahun yang lemas di sebuah kolam takungan air di kawasan sawah padi Kampung Syed Omar, Jalan Batu Pahat, di sini, semalam.

Kejadian jam 12 tengah hari itu membabitkan Ahmad Rozaimi Rosli dan Shahril Amri Ramli yang juga murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Padang Kota, di sini.

Amir Farhan berkata, sebelum kejadian dia dan rakannya sedang berehat di halaman rumah kira-kira 50 meter dari kawasan kolam takungan di kawasan sawah padi itu.

“Tidak semena-mena kami terdengar jeritan meminta tolong dari kolam takungan air lalu bergegas ke kawasan berkenaan.

“Sebaik tiba, kami nampak seorang kanak-kanak menangis sambil menunjukkan dua lagi rakannya yang sedang mandi di kawasan itu tidak timbul selepas terjun ke dalam kolam berkenaan.

“Tanpa memikirkan keselamatan diri, kami terus terjun sambil menyelam untuk mencari kanak-kanak itu dan kira-kira 15 minit kemudian, kami menemui dua mayat itu yang tenggelam di dasar kolam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Menurutnya, sejurus membawa kedua-dua mayat kanak-kanak itu naik, dia bagaikan tidak percaya apabila seorang mangsa adalah sepupunya.

“Saya tidak sangka salah satu mayat itu sepupu saya Ahmad Rozaimin Rosli dan sebelum ini pun tiada sesiapa yang datang mandi di kolam takungan air di kawasan sawah padi itu,” katanya.

Saksi lain Ruzihan Shahidan, 40, berkata kolam takungan air dalam kawasan sawah padi terbabit terbentuk hasil daripada kerja pengorekan tanah sejak lebih seminggu lalu.

“Sebelum kejadian ketiga-tiga kanak-kanak itu dilihat bermain di sekitar kolam itu, namun ditegah adik saya supaya berlalu pergi dari kawasan itu kerana berbahaya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Zaini Talib berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah Kangar untuk bedah siasat.

myMetro 9 November 2015

0 comments:

Post a Comment