November 9, 2015

Usung basikal terus hilang

Puchong: Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang secara ‘misteri’ sejak lima hari lalu selepas kali terakhir dilihat memasuki kedai runcit di bawah rumahnya di Pangsapuri Orkid di Puchong Prima, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 7.10 petang itu, Muhammad Amirul Adha, 13, dikatakan pergi ke kedai runcit berkenaan untuk membeli aiskrim buat adiknya, namun mangsa tidak muncul semula selepas itu.

Ibu bapa mangsa yang tinggal di tingkat dua pangsapuri berkenaan resah apabila anak mereka tidak pulang sehingga lewat malam sebelum mencarinya di kawasan sekitar.

Ibu mangsa, Noor Hasharine Mohd Ali Khan, 34, memaklumkan ketika kejadian dia menjaga anak bongsunya, namun menyedari anaknya itu keluar rumah dengan membawa basikal merahnya.

“Amirul sebelum itu sudah ke kedai runcit berkenaan seperti disuruh ayahnya dan memberitahu mahu turun semula ke kedai sama membeli aiskrim untuk adiknya.

“Suami saya melarangnya kerana waktu Maghrib dan jangan membawa basikal turun sekali, namun Amirul terus beredar,” katanya.

Menurutnya, ada jiran memaklumkan ternampak Amirul keluar dari kedai itu dan terus berlalu begitu saja.

“Saya dan suami berusaha mencari Amirul di kawasan sekitar pangsapuri. Kami turut pergi ke rumah rakan baiknya untuk mendapatkan maklumat, namun usaha itu gagal.

“Gambar dan maklumat kejadian sudah kami sebarkan di media sosial dan berharap agar anak saya itu pulang semula ke rumah.

“Adiknya yang bongsu sudah beberapa hari bertanyakan tentang abangnya itu dan kini tidak lalu makan,” katanya.

Katanya, anaknya kali terakhir dilihat memakai baju-T, berselipar dan mengayuh basikal berwarna merah.

“Saya risau jika perkara tidak diingini berlaku pada Amirul. Orang ramai yang terjumpa atau mempunyai maklumat berhubung Amirul diminta menghubungi balai polis berhampiran atau nombor telefon saya 017- 5456634,”katanya.

myMetro 9 November 2015


Lupa jalan pulang

Puchong: Seorang remaja lelaki yang hilang sejak seminggu lalu akhirnya ditemui selepas seorang wanita menghantarnya di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Permai, di sini, kelmarin.

Muhammad Amirul Adha, 13, dilaporkan hilang dari rumahnya di Pangsapuri Orkid di sini, sejak Khamis lalu sebelum ditemui di hadapan pintu pagar sekolah berkenaan.

Ibunya Noor Hasharine Mohd Ali Khan, 34, berkata, pendedahan akhbar Harian Metro Isnin lalu, membolehkan anaknya itu dijejaki.

Menurutnya, seorang guru sekolah anaknya itu menghubungi dan meminta suaminya datang ke sekolah kerana anaknya berada di sekolah berkenaan.

“Amirul dikatakan terlupa jalan pulang kerana waktu sudah lewat malam dan ada seorang wanita menghantarnya ke sekolah berkenaan.

“Suami saya, terus bergegas ke sekolah. Alhamdulillah Amirul ditemui selepas hilang sejak seminggu lalu,” katanya.

myMetro 11 November 2015

0 comments:

Post a Comment