November 26, 2015

10 kawasan terjejas

ANGGOTA bomba membantu memindahkan mangsa ke pusat pemindahan di Lawas.

Lawas: Pertembungan air pasang dan banjir kilat sejak petang kelmarin menyebabkan 10 kawasan di Trusan dan Sundar, di sini, dinaiki air.

Sehingga jam 3 petang, semalam, kawasan yang masih dinaiki air di Trusan ialah Kampung Gelapas, Kampung Seberang Kedai, Kampung Tengah, Kampung Balai dan Kampung Masjid.

Di kawasan Sundar pula, kawasan terjejas ialah Kampung Sebelas Sundar, Kampung Baru, Sekolah Kebangsaan Luangan, Kampung Bingkiai dan Kampung Sinampuan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Subuh Posa berkata, seramai 34 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Masyarakat Trusan, di sini, sejak semalam.

Menurutnya, penduduk yang terjejas dipindahkan ke pusat berkenaan berikutan kawasan rumah mereka dinaiki air antara 0.5 hingga 1.5 meter.

“Penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan diberikan bantuan awal dan bekalan makanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Selain Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, agensi kerajaan lain antaranya anggota bomba dan penyelamat serta polis turut berada di pusat pemindahan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas Mohd Shamlie Radae berkata, hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan di bandar ini dilanda banjir kilat pada jam 5.30 petang, kelmarin.

Katanya, air di kebanyakan kawasan terjejas sudah mula surut sejak petang kelmarin kecuali di Trusan dan Sundar.

myMetro 26 November 2015


0 comments:

Post a Comment