November 26, 2015

Tiga geng Shahril Proton kena cekup

Sepang: Geng Shahril Proton tumpas apabila tiga anggota geng yang giat menjalankan kegiatan pecah dan curi kenderaan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, dicekup awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, hasil risikan polis berjaya menahan tiga lelaki berusia 20-an di sebuah bengkel di Sepang yang digunakan untuk kegiatan haram mereka.

"Tiga suspek berkenaan aktif mencuri kenderaan terutama di pusat beli-belah sejak Jun lalu, membabitkan sekurang-kurangnya 28 kes di lapan lokasi sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka.

"Geng yang turut mempunyai bengkel di Melaka itu mensasar kenderaan jenis Proton untuk dipecahkan sebelum dilarikan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, pagi tadi.

Menurutnya, hasil penahanan itu berjaya merampas pelbagai jenis kereta dan barangan dipercayai hasil curi yang membabitkan kerugian melebihi RM100,000.

"Antara yang berjaya dirampas enam buah kereta pelbagai jenis, dua kereta tanpa enjin, tiga rangka kereta, 10 enjin kenderaan, sebuah motosikal dan pelbagai alat yang digunakan untuk melupuskan nombor enjin kenderaan.

"Tiga suspek yang ditahan secara berasingan itu ditahan reman sehingga 27 November ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan," katanya.

myMetro 25 November 2015

0 comments:

Post a Comment