September 21, 2015

Mahasiswi UiTM ditemui mati di bilik air

ARAU – Hasrat seorang pelajar yatim piatu, Syafarina Mansor, 18, untuk mengubah nasib keluarganya selepas bergelar siswi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis tidak kesampaian selepas dia ditemui me­ninggal dunia di bilik air di salah sebuah kolej kediaman universiti itu kelmarin.

Rektor UiTM Perlis, Prof. Datuk Ahmad Redzuan Abdul Rahman berkata, kejadian itu disedari oleh seorang rakan sebilik arwah kira-kira pukul 2 petang selepas mendapati Syafarina berada hampir dua jam di bilik air.

“Rakannya yang risau tentang Syafarina kemudian bertindak ke bilik air dan terkejut apabila mendapati arwah dalam keadaan terbaring di atas lantai tandas.

“Rakannya kemudian memanggil warden kolej kediaman sebelum membawa arwah ke Hospital Tuanku Fauziah Kangar (HTF) Kangar untuk mendapatkan rawatan.

“Syafarina disahkan meninggal dunia oleh doktor HTF kira-kira pukul 3.20 petang kelmarin,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kosmo 21 Sep 2015


Curiga dua jam keluar mandi

IHSAN UiTM

Arau: Penuntut perempuan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis ditemui meninggal dunia dalam bilik air di sebuah kolej kediaman universiti itu, semalam.

Syarafina Mansor, 18, penuntut Diploma Sains Dari Fakulti Sains Gunaan ditemui terbaring dalam bilik air oleh rakan sebiliknya, pada kira-kira 2 petang.

Rakannya itu dikatakan keluar mencari Syarafina apabila curiga mangsa tidak pulang semula ke biliknya selepas keluar untuk pergi mandi.

Rektor UiTM Perlis, Prof Datuk Ahmad Redzuan Abd Rahman, berkata mangsa sebelum itu pergi ke tandas di kolej kediaman itu untuk mandi pada 12 tengah hari.

"Namun, apabila mangsa tidak pulang selepas dua jam berikutnya, rakan sebiliknya bertindak memeriksa tandas itu dan menemui Syarafina sudah terbaring,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, rakannya kemudian memanggil kakitangan pengurusan kolej kediaman itu sebelum membawa mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, menggunakan ambulana milik Pusat Kesihatan UiTM Perlis.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor di hospital pada 3.20 petang semalam. Proses bedah siasat yang dilakukan mendapati tiada sebarang kecederan pada badan mangsa sebaliknya mangsa meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala," katanya.

Beliau menjelaskan berdasarkan temubual dengan rakan mangsa, mereka mengakui bahawa Syarafina sering mengadu mengalami sakit di kepala sehingga kadangkala tidak dapat pergi ke kelas.

"Jenazah mangsa yang juga anak yatim piatu dibawa ke Bukit Jenun, Pendang di Kedah untuk dikebumikan hari ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ku Yaakob Ku Hamad, mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikan kes sebagai kematian yang tiada unsur jenayah.

myMetro 20 September 2015



0 comments:

Post a Comment