September 21, 2015

Penuntut UiTM maut nahas

PETALING JAYA - Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut selepas motosikal yang dinaikinya berlanggar dengan sebuah kenderaan dipercayai lori dalam kejadian di Jalan Sungai Buloh menghala ke Kampung Baru Subang, kelmarin.

Pemangku Ketua Trafik Daerah Petaling Jaya, Asisten Superintendan Zulkafli Cheklah berkata, kejadian jam 7.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Mohd Luthfi Darus, 23, dikatakan dalam perjalanan ke kampusnya di Puncak Perdana.

Menurutnya, mangsa yang menaiki motosikal jenis Modenas Kriss disyaki telah berlanggar dengan sebuah lori.

“Kejadian menyebabkan mangsa yang merupakan penuntut Sarjana Muda Sains dan Maklumat maut di lokasi kejadian.

“Mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala dan badan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan awal berdasarkan saksi pertama di lokasi kejadian memberitahu, saksi hanya nampak mangsa sudah berada dalam keadaan terbaring.

“Malah, tiada kenderaan lain yang berada di lokasi terbabit,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis meminta orang ramai yang melihat kejadian supaya tampil di balai berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Hazwan Mohamad Nawi di talian 017-9021882 bagi menyalurkan maklumat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 21 September 2015

0 comments:

Post a Comment