September 16, 2015

Lelaki maut bergaduh rebut kawasan

KLUANG - Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah mati akibat cedera di kepala selepas dipercayai terlibat pergaduhan perebutan kawasan pengedaran dadah dengan sekumpulan pengedar lain di Kampung AC, Layang-Layang, dekat Kluang, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, polis dimaklumkan penemuan lelaki berumur 44 tahun itu yang cedera terbaring di tepi jalan di kampung tersebut pada jam 8.30 pagi sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Layang-Layang, sejurus kemudian.

Beliau berkata, dua lelaki tempatan berusia 25 dan 46 tahun ditahan susulan kejadian tersebut.

“Kedua-dua suspek yang turut positif dadah masing-masing dicekup kira-kira jam 1.30 petang dan 3 petang, semalam, dengan bantuan penduduk kampung berdekatan lokasi kejadian.

“Kami juga sedang memburu tiga lagi lelaki tempatan berumur lingkungan 30 hingga 35 tahun dipercayai terlibat kejadian itu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Ahmad Zamry berkata, hasil bedah siasat oleh Pakar Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan di kepala akibat objek keras dan tumpul.

Jelasnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek kini direman selama seminggu sehingga 21 September ini.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai terutamanya pengguna media sosial menghentikan penyebaran maklumat berkenaan kes pergaduhan itu yang kononnya membabitkan isu perkauman.

“Saya menafikan perkara itu kerana tidak ada unsur perkauman yang tercetus dalam pergaduhan terbabit tetapi hanya disebabkan dua kumpulan pengedar dadah yang berebut kawasan,” tegasnya sambil mengingatkan tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian 16 Sep 2015

0 comments:

Post a Comment