May 24, 2015

‘Selagi ia bernyawa’

ANGGOTA bomba menyelamat seekor anjing liar yang terperangkap di tengah pulau lumpur di Sungai Putat, Melaka.

Melaka: Selagi makhluk itu bernyawa, mereka akan cuba selamatkan begitulah tugas anggota Bomba dan Penyelamat yang tidak mengira sentimen ketika menyelamatkan seekor anjing liar terperangkap di kawasan berlumpur di Sungai Putat, di sini, malam kelmarin.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, PBK II Hadzar Hasan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 7.19 malam meminta menyelamatkan seekor anjing terperangkap di tengah sungai itu.

“Dalam soal menyelamat, kami mengetepikan dulu soal haram bersentuhan dengan haiwan seperti anjing ini kerana selagi makhluk itu bernyawa, usaha menyelamat tetap perlu dilakukan.

“Malah kami juga diajar ilmu asas Islam, jadi selepas menyelamat anjing itu, anggota yang beragama Islam akan menyamak bahagian badan yang bersentuhan dengan haiwan itu,” katanya.

Beliau berkata, usaha menyelamat haiwan itu membabitkan seorang pegawai dan lima anggota yang bergegas ke lokasi kejadian selepas beberapa agensi lain yang dihubungi oleh orang awam sebelum itu tidak dapat membantu kerana kekurangan peralatan bersesuaian untuk tugasan seperti itu.

myMetro 24 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment